Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSMBJ) melangkah ke perlawanan akhir Piala Menteri Pendidikan Malaysia (B14) setelah mengetepikan tentangan sengit SMK Seri Kota (SMKSK) dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Mini SMKSK, Bukit Serindit.
Dua jaringan Muhammad Danial Amaly di setiap babak permainan membantu SSMBJ mencatat kemenangan 2-1 sekaligus mara dengan agregat sama setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan ketika separuh akhir pertama di Bukit Jalil minggu lalu.
Ketua jurulatih SSMBJ, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata semangat juang dan komitmen tinggi ditunjukkan pemainnya wajar dipuji meskipun berpendapat pasukannya boleh menang dengan jaringan lebih besar jika tidak kerana ketiadaan penyudah.
“Prestasi hari ini sama seperti sebelumnya, di mana kita kawal permainan tetapi hampa tiada penyudah. Bezanya, hari ini kita skor dua gol, saya rasa kita ada lapan peluang terbuka, kita perlu lebih tajam.
“Apa pun saya kagum dengan semangat juang mereka, kerana mereka bermain tujuh perlawanan dalam tempoh sembilan hari. Lepas separuh akhir Sabtu lepas, kita ke Bangkok bermain lima perlawanan di sana. Mereka melalui minggu yang padat dan memenatkan tetapi masih memberikan yang terbaik hari ini,” ujar Wan Rohaimi.
Jurulatih SMKSK, Jeraie Sitan pula menyifatkan ketiadaan seorang pemain tonggak utama di posisi tengah bertahan akibat penggantungan perlawanan adalah faktor utama pasukannya gagal menyekat ancaman barisan depan SSMBJ.
“Kehilangan seorang pemain memberi kesan besar kepada pasukan saya, kelebihan buat SSMBJ kerana mereka boleh daftar 40 pemain, siapa-siapa pun boleh main. Ini menyebabkan kita tidak dapat mencorakkan permainan dengan baik dan pemain juga gugup walaupun bermain di tempat sendiri.
“Tapi saya bangga walaupun taraf kami hanyalah sekolah sukan negeri, kita telah berjaya berikan tentangan sengit, dan hanya kalah tipis. Ini membuktikan pemain-pemain kita punyai kualiti dan boleh melangkah lebih jauh,” kata Jeraie.
Dalam aksi final, SSMBJ akan berdepan SMK Seksyen 11 dari Selangor yang meneruskan kemaraan setelah menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSMTMI) 2-1 (agregat 3-2) dalam satu lagi perlawanan separuh akhir berlangsung lebih awal, pada Sabtu.
Perlawanan masa sebenar berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 menyaksikan kedudukan agregat terikat 2-2, sekaligus memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan dan Muhammad Adim Muzahhir Saiful Rizuan muncul wira buat wakil Selangor itu apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85.
Perlawanan akhir akan berlangsung pada 23 Oktober depan di Bandar Penawar.
KEPUTUSAN
SEPARUH-AKHIR KEDUA
SMK SERI KOTA (SSN Melaka) 1 (1)
SS BUKIT JALIL (B14) 2 (2)
SS TUNKU MAHKOTA ISMAIL (B14) 1 (2)
SMK SEKSYEN 11 (SSN Selangor) 2 (3)
JADUAL PERLAWANAN AKHIR
23 Oct 2016 – Mini Stadium SSMTMI, Bandar Penawar
SS BUKIT JALIL (B14) lwn SMK SEKSYEN 11 (SSN Selangor)