Pasukan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) ‘B’ B-14 muncul juara Piala Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) B-14 tahun setelah menundukkan pasukan ‘abang’ mereka SSMP ‘A’ 4-3 menerusi penentuan penalti dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada Sabtu.
Penjaga gol, Muhammad Irwan Mohamad Latif muncul wira SSMP ‘B’ apabila cemerlang menyelamatkan dua sepakan penalti oleh Haiqal Hakeemi Hairi dan Muhammad Danish Mohd Zahir sekaligus memastikan kemenangan dramatik buat skuad bimbingan Armi Shariff itu.
Aksi di Stadium Mini Kejora Bandar Penawar sebelum itu menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan permainan masa penuh termasuk masa tambahan dengan keputusan seri 1-1.
Dua pasukan berpangkalan di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang itu mengetepikan seketika sentimen persaudaraan dan tampil menunjukkan aksi kompetitif dengan saling mencipta peluang dan berbalas serangan sejak sepak mula.
Peluang pertama perlawanan hadir menerusi percubaan dari luar kotak penalti ketua pasukan SSMP ‘B’, Syukur Fariz Januri yang tepat ke dakapan penjaga gol SSMP ‘A’ Hafizy Hajazy pada minit ketujuh.
SSMP ‘A’ yang dibimbing bekas pemain Negeri Sembilan dan kebangsaan, Effendi Malek kemudiannya membuka jaringan pada minit ke-14 menerusi sepakan percuma cantik Ziad El Basheer Norhisham yang gagal diselamatkan Muhammad Irwan.
SSMP ‘A’ tampak semakin bernafsu memburu jaringan selepas itu dengan mencipta deretan peluang berbahaya di sepanjang separuh masa pertama menerusi gandingan Ziad, Khairi Suffian Khaineyusri dan Najmuddin Akmal Kamal namun gagal menemui sentuhan penyudah.
Babak kedua berlangsung lebih seimbang dan kerja keras SSMP ‘B’ membuahkan hasil apabila barjaya menyamakan kedudukan menerusi percubaan Syukur Fariz pada minit ke-54 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Debaran penentuan penalti menyaksikan SSMP ‘B’ muncul pemenang setelah Badrol Erfan, Syahmir Norhisham, Farhan Rahim dan Fakrul Fareez Aidi menyempurnakan tendangan masing-masing tatkala SSMP ‘A’ membalas menerusi Nur Iman Haikal Herman, Azhad Harraz Arman dan Akif Afizi Ramzi.
Armi yang ditemui selepas perlawanan berkata, “Saya tidak sangka perlawanan ini akan berlanjutan ke penalti tetapi kami telah bersedia dengan situasi itu. Ianya adalah kehendak dan semangat juang pemain yang membolehkan kita bangkit dari ketinggalan dan muncul pemenang.
“Secara keseluruhan pasukan telah beraksi cukup sempurna terutama di bahagian pertahanan yang menunjukkan disiplin tinggi dan cukup tersusun. Mereka berjaya menyerap asakan bertali arus dan tekanan dari pasukan SSMP ‘A’ dengan begitu baik.”
Sementara itu, Effendi pula tetap gembira dengan keputusan perlawanan dan menyifatkan kejayaan dua pasukan SSMP mara ke final membuktikan mereka mempunyai kualiti setanding.
“Bagi saya tiada pasukan kalah, tiada yang menang. Ia satu perlawanan yang bagus, apa yang saya mahu mereka seronok bermain, menghiburkan penonton dan ibu bapa yang hadir.
“Meskipun permukaan padang membataskan sedikit kualiti permainan tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati. Masing-masing bersaing sengit, mencipta peluang, bertahan dengan baik, berdisiplin dan tersusun. Dua-dua pasukan standard tiada beza, setaraf.”