Stefano Brundo bersedia untuk menggalas tugas baharu di posisi tengah meskipun pada awalnya dia hadir sebagai pemain pertahanan untuk Sri Pahang FC.
Kemampuannya untuk mencetak jaringan menyaksikan pemain import kelahiran Argentina ini menjadi pilihan Ketua Jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad untuk meletakkan pemain ini di posisi tengah pada musim lalu.
Pemain yang sudah melengkapkan 25 penampilan bersama Sri Pahang ini berjaya mencetak 12 jaringan pada musim 2023, sekali gus membuktikan ketajamannya dihadapan gol.
Bagi dirinya, dia tidak sabar untuk beraksi pada musim baharu dan tidak terlalu memikirkan posisi yang bakal ditentukan oleh Fandi dalam saingan liga yang akan bermula pada Mei ini.
“12 gol pada musim lalu adalah suatu perkara yang sangat hebat dan menakjubkan bagi saya.”
“Saya tidak fikir saya akan beraksi sebagai seorang penyerang kerana posisi yang selalu saya bermain adalah bahagian pertahanan dan tengah. Namun saya menyerahkan kepada jurulatih untuk menentukan yang terbaik,” jelasnya.
Tambahnya lagi, objektif utama dirinya pada musim hadapan adalah untuk menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan di negara ini memandangkan dia sudah mula menyukai penyokong dan kelab Skuad Tok Gajah ini.
“Objektif utama musim hadapan adalah untuk terus meningkatkan prestasi dan menyesuaikan diri di sini, kerana saya sangat gembira dan mula jatuh cinta dengan penyokong, bandar dan kelab ini,” jelasnya lagi.
Brundo juga mengucapkan penghargaan atas sokongan setiap penyokong Sri Pahang dan berharap dapat bersama-sama membawa pasukan itu mengecapi kejayaan semula.
“Kepada penyokong Sri Pahang, saya ucapkan terima kasih kerana menyambut saya dengan baik dan menyokong pasukan ini dengan sepenuh jiwa, bersama-sama kita mencipta keputusan yang terbaik untuk kelab ini,” katanya.