Tekong utama ATM Guardians, Hairul Hazizi Haidzir berpendapat ianya satu kerugian besar andai pasukannya gagal menamatkan saingan Sepaktakraw League (STL Premier) 2018 selaku juara setelah menunjukkan kredibiliti selaku pencabar kejuaraan sehingga ke minggu akhir.
ATM Guardians dan Penang Black Panthers silih berganti menerajui takhta liga sejak dari minggu pertama dan menuju ke minggu akhir saingan, kedua-dua pasukan kekal berada di kedudukan satu-dua dengan jumlah mata sama iaitu 26 mata hasil 13 kemenangan.
Namun ATM Guardians mendahului dengan kelebihan tipis menerusi beza set menang dan untuk bergelar juara mereka perlu menang baki dua perlawanan menentang Selangor Pistons pada Sabtu dan KL Thunder pada Ahad dengan keputusan straight set.
Walau tercicir satu set sekalipun akan menyaksikan kedudukan mereka berpotensi dipintas oleh Penang Black Panthers yang dijangka tidak bermasalah untuk melakar kemenangan ke atas pasukan tangga tercorot Melaka Titans dalam perlawanan terakhir mereka.
Hairul Hazizi yang juga tekong kebangsaan berkata keyakinan di kem ATM Guardians ketika ini sedang memuncak untuk meneruskan momentum kemenangan dan memastikan kejuaraan kembali ke genggaman pasukan itu selepas dua musim ianya menjadi milik Penang Black Panthers.
“Kami telah beraksi dengan konsisten sejak minggu pertama dan kunci utama kepada prestasi baik ini adalah keinginan dan juga kerjasama sepasukan yang tinggi. Sekarang kami tahu menang 4-0 dalam baki dua perlawanan boleh menghadiahkan kejuaraan, jadi kami tidak boleh lakukan kesilapan, tidak lagi boleh berpaling.
“Sayanglah kalau sudah berada di atas dan kena potong saat akhir kerana sedikit kesilapan jadi sebab itu kami kena fokus, belum tiba masanya untuk kami fikirkan kejuaraan, masih terlalu awal kerana perjuangan belum selesai.
“Apa yang lebih penting sekarang kami kena kerah prestasi untuk berada di tahap terbaik supaya boleh menang kedua-dua perlawanan straight set kerana ia bukan perlawanan yang mudah,” ujar Hairul Hazizi.