Melaka Titans akhirnya merasai nikmat kemenangan selepas tewas 11 perlawanan berturut-turut dalam saingan Sepaktakraw League (STL Premier) 2018 apabila membenam cabaran Terengganu Turtles 2-0 di Gem In Mall, Cyberjaya pada Sabtu.
Terperosok di tangga tercorot dengan hanya satu kemenangan daripada 14 perlawanan, perjuangan Melaka Titans dalam baki saingan lebih menjurus kepada misi untuk mengelak daripada terus menjadi pasukan belasahan.
Regu Sahidan Ali-Hasif Yusoff-Asyraaf Zawawi memastikan hajat itu tercapai apabila tampil dengan permainan kemas dan lebih tersusun berbanding aksi sebelumnya untuk mengesahkan kemenangan 21-13, 21-12 ke atas regu Terengganu Turtles, Hafizul Iqmal Nor-Izzudin Zulkarnain-Hanafiah Dollah.
Jurulatih Melaka Titans, Syahmir Rashid berkata, “Sepatutnya daripada awal saingan kita tunjukkan permainan seperti ini, tetapi setiap kali bila dah sampai mata ke-17 atau 18, pemain jadi buntu dan tidak tahu bagaimana mahu menyudahkan permainan. Benda ni berlaku dalam setiap perlawanan, kita pecut awal tapi di penghujung hilang tumpuan.
“Pada hari ini, pemain-pemain buktikan, walaupun mereka tahu Melaka Titans tidak lagi boleh bertahan di STL Premier, ia lebih kepada mahu menebus maruah selepas mengalami kekalahan demi kekalahan.
“Apabila kita melihat regu Terengganu dan mendapati tiada nama Sobey (Zulkifli Razak), Fadzli Roslan, hanya Hanafiah seorang pemain senior, kita tanam tekad ini adalah peluang terbaik untuk menang dan berjaya melakukannya,” kata Syahmir yang berharap ia menjadi pemangkin motivasi untuk cuba melakukan kejutan dalam tiga aksi terakhir menentang Perak Bison, Johor Tigris dan Penang Black Panthers.
Sementara itu, juara bertahan Penang Black Panthers dan ATM Guardians terus menghangatkan perebutan kejuaraan musim kelima STL Premier setelah melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing sekaligus mengukuhkan cengkaman di kedudukan dua teratas.
Penang Black Panthers menerusi gandingan regu terbaik mereka Syahir Rosdi-Azlan Alias-Zaim Razali cemerlang menundukkan Johor Tigris yang kehilangan khidmat tekong utama, Noor Azman Hamid dengan keputusan 2-0.
Ketiadaan Noor Azman yang terlibat dengan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) di Pulau Pinang menyaksikan tempatnya terpaksa diisi perejam kebangsaan Noraizat Nordin yang digandingkan bersama Muqlis Borhan dan Reffauzi Maulani.
Begitupun trio itu mendapati regu Black Panthers terlalu kuat untuk disaingi apabila tewas dengan keputusan 10-21, 19-21 dan terlepas peluang untuk mengukuhkan cengkaman di tangga keempat.
Kemenangan ke-13 buat Penang Black Panthers menyaksikan mereka mendahului STL Premier dengan 26 mata, dua mata mengatasi ATM Guardians yang beraksi kurang satu perlawanan.
Dalam aksi berlangsung lebih awal, ATM Guardians turut cemerlang melakar kemenangan ke-12 setelah regu Hairul Hazizi Haidzir-Muhaimi Che Bongsu-Norfaizzul Razak tidak berdepan masalah besar membenam regu PDRM Defenders 2-0 (21-15, 21-17).
Manakala dalam satu lagi perlawanan, regu Hisyam Mat-Hafizi Maarof-Yuslie Jusoh tampil bertenaga untuk membantu Kelantan Warriors bangkit daripada dua kekalahan terdahulu untuk mencatat kemenangan kelapan dengan menewaskan Selangor Pistons 2-0 (21-18, 21-12).
Keputusan STL Premier (17 November) :
Melaka Titans mng Terengganu Turtles (2-0 : 21-13, 21-12)
Kelantan Warriors mng Selangor Pistons (2-0 : 21-18, 21-12)
ATM Guardians mng PDRM Defenders (2-0 : 21-15, 21-17)
Penang Black Panthers mng Johor Tigris (2-0 : 21-10, 21-19)