Prestasi Perak Bison dalam Sepaktakraw League 2018 (STL Premier) ternyata jatuh mendadak dan boleh dianggap sebagai sedikit mengecewakan penyokong mereka jika dibandingkan dengan musim lalu.
Pada musim lalu, Perak Bison yang berstatus pendatang baru mencuri tumpuan ramai apabila berjaya memberikan tentangan sengit kepada perebutan kejuaraan sebelum akhirnya berpuas hati menduduki tempat ketiga namun kali ini nasib mereka berbeza.
Memasuki minggu akhir saingan, Perak Bison ketika ini menghuni tangga keenam dengan 14 mata hasil daripada tujuh kemenangan dan mereka perlu untuk setidak-tidaknya mengakhiri saingan dengan kekal di kedudukan tersebut jika tidak mahu terlepas slot bermain di STL Champions Cup.
Hanya enam pasukan teratas STL Premier dan dua pasukan STL Divisyen Satu layak untuk menyertai STL Champions Cup yang akan berlangsung pada Disember nanti justeru Perak Bison yang merupakan naib juara pertandingan ini musim lalu mensasarkan kemenangan dalam baki dua aksi menentang Kelantan Warriors (24 November) dan PDRM Defenders (25 November) untuk mengesahkan tempat mereka.
“Kita dihambat dengan masalah kecederaan tekong utama (Meor Zulfikar Amin) dan kepenatan, itu satu punca prestasi beberapa pemain tidak di tahap terbaik dan menyebabkan saya kerap kali terpaksa menukar gandingan dan menggunakan pemain-pemain berbeza.
“Saya yakin kita sudah berjaya menyelamatkan diri dari penyingkiran, jadi perjuangan kita sekarang adalah untuk memburu tempat di STL Champions Cup.
“PDRM Defenders dan Terengganu Turtles sedang mengejar kita dari belakang dan mereka juga sudah tentu mempunyai misi sama. Jarak kita tidak jauh jadi saya anggap ia sebagai pertarungan tiga penjuru antara Perak Bison dan dua pasukan ini dan kita tidak boleh melakukan kesilapan atau akan berputih mata,” kata jurulatihnya Ismi Hissan Ismail.
Satu kelegaan buat Ismi adalah Perak Bison akhirnya kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan Johor Tigris dan Melaka Titans pada minggu lalu selepas terdahulu menunjukkan prestasi buruk mengalami empat kekalahan berturut-turut.
“Kita kembali mendapat keyakinan dan saya harap momentum ini dapat diteruskan pada minggu terakhir ini. Kelantan Warriors bukan lawan mudah, begitu juga dengan PDRM Defenders, tetapi jika kita bermain tanpa tekanan saya percaya kita boleh tewaskan sesiapa sahaja,” tambahnya lagi.
Sementara itu, PDRM Defenders yang berada di tangga ketujuh dengan turut mengumpul 14 mata akan terlebih dahulu berdepan Johor Tigris pada Sabtu sebelum menentang Perak Bison pad Ahad manakala pasukan tangga kelapan Terengganu Turtles pula berdepan KL Thunder dan menutup tirai musim 2018 dengan menentang Kelantan Warriors.
Jadual STL Premier (Minggu Akhir) :
Jumaat (23 November 2018, bermula 8.15 malam)
Penang Black Panthers lwn Selangor Pistons
Johor Tigris lwn Melaka Titans
Sabtu (24 November 2018, bermula 5 petang)
ATM Guardians lwn Selangor Pistons
PDRm Defenders lwn Johor Tigris
Terengganu Turtles lwn KL Thunder
Kelantan Warriors lwn Perak Bison
Ahad (25 November 2018, bermula 5 petang)
Perak Bison lwn PDRM Defenders
Kelantan Warriors lwn Terengganu Turtles
Melaka Titans lwn Penang Black Panthers
KL Thunder lwn ATM Guardians