Rekod bersih menang kesemua empat perlawanan awal termasuk menghadiahkan kekalahan sulung kepada juara bertahan Penang Black Panthers, nyata permulaan yang cukup mengejutkan daripada ATM Guardians.  

ATM Guardians juga satu-satunya pasukan belum mencicirkan sebarang set maka tidak hairanlah apabila jurulatihnya Aswadi Abdullah sendiri menzahirkan rasa terkejut dengan prestasi yang ditunjukkan pasukannya dalam dua minggu pertama Sepaktakraw League (STL) Premier 2018.  

Bagi Aswadi ini adalah permulaan yang sangat diharapkan tetapi apa yang menjadi keutamaan jurulatih itu ketika ini memastikan pasukan menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa dan rentak positif dapat dikekalkan sehingga penghujung musim.    

“Kita sebenarnya mempunyai sebuah skuad yang bagus, pemain kita sama sahaja dengan tahun lalu cuma bezanya pasukan kita adalah berprofil rendah dan tidak diberikan tumpuan sangat.

“Lagipun pencapaian kita pada musim lalu tidaklah begitu memberangsangkan apabila menduduki tempat keenam jadi apabila bermain kali ini sasaran utama kita adalah memperbaiki pencapaian itu dan cuba merebut tiket bermain di STL Champions Cup, selebihnya adalah bonus.  

“Sudah tentunya prestasi dalam dua minggu ini cukup menggembirakan saya, kita telah bermula sepertimana diharapkan tetapi kebimbangan utama saya adalah mengekalkan konsistensi ini sehingga minggu akhir.

“Jadi kita tidak boleh terbuai  atau mudah berpuas hati kerana lain pasukan lain kekuatan mereka. Sedikit kelekaan boleh membawa padah jadi kita perlu untuk sentiasa berada pada tahap prestasi terbaik agar tidak lari daripada sasaran sebenar memburu tiket Champions Cup, itu adalah apa yang saya titik beratkan,” ujar Aswadi.

Aswadi juga menyifatkan kehadiran semula apit kanan kebangsaan, Afifuddin Razali ke dalam skuad satu tonik buat ATM Guardians. Pemain itu tidak diturunkan ketika minggu pertama STL Premier kerana masih belum mendapat lampu hijau untuk beraksi daripada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Antara pemain lain memperkuatkan cabaran ATM Guardians musim ini adalah tekong kebangsaan Hairul Hazizi Haidzir, Abdul Muhaimi Che Bongsu, Norfaizzul Abdul Razak, Adli Abu Bakar dan apit kanan veteran Khairudin Adnan.

ATM Guardians yang mengambil alih kedudukan pendahulu STL Premier dari Penang Black Panthers dengan mengumpul lapan mata akan menyambung aksi minggu ketiga saingan dengan menentang Melaka Titans pada Jumaat (19 Oktober), PDRM Defenders (20 Oktober) dan Kelantan Warriors (21 Oktober).

Sementara itu, pertembungan antara juara dan naib juara musim lalu – Penang Black Panthers dan KL Thunders antara yang dijangka menjadi tumpuan peminat pada minggu ketiga saingan STL Premier.

Rekod tanpa kalah kedua-dua pasukan lebur pada minggu kedua dan masing-masing mencari kemenangan bagi memastikan tidak terus tercicir dalam kedudukan liga.

 

Jadual minggu ketiga STL Premier :

 

19 Oktober (Jumaat, bermula 5 petang) :

 

ATM Guardians lwn Melaka Titans

Johor Tigris lwn Perak Bison

KL Thunders lwn Penang Black Panthers

Selangor Pistons lwn Kelantan Warriors

 

20 Oktober (Sabtu, bermula 5 petang) :

 

Penang Black Panthers lwn Johor Tigris

ATM Guardians lwn PDRM Defenders

Melaka Titans lwn Terengganu Turtles

KL Thunders lwn Selangor Pistons

 

21 Oktober (Ahad, bermula 5 petang) :

 

Perak Bison lwn Melaka Titans

Kelantan Warriors lwn ATM Guardians

Terengganu Turtles lwn PDRM Defenders

Selangor Pistons lwn Penang Black Panthers

 

- Advertisement -