Saingan Sepaktakraw League (STL) Premier 2018 yang kembali bersambung buat minggu keempat pada Jumaat menyaksikan KL Thunder menghadiahkan ATM Guardians kekalahan pertama musim ini yang sekaligus menoktahkan rekod tujuh kemenangan berturut-turut milik pendahulu liga itu.
Tidak seperti minggu sebelumnya, rentak ATM Guardians nampak sedikit goyah dan ianya dimanfaatkan sebaiknya KL Thunder menerusi gandingan Amirul Zazwan Amir-Aizat Azmi-Norhafizi Razak untuk menewaskan trio Hairul Hazizi Haidzir-Norfaizzul Razak-Khairuddin Adenan dengan keputusan 2-0.
Jurulatih KL Thunder Azhar Sarabini memuji peranan dimainkan Aizat yang tampil dengan servis bertenaga untuk membantu regu KL Thunder itu menang 21-17 pada set pertama dan kemudiannya mengetepikan kebangkitan lewat ATM Guardians di set kedua menerusi kemenangan 21-19.
āPemain saya sebenarnya begitu membara mahu menang perlawanan ini kerana kita tahu ATM bukan sahaja belum pernah tewas, tetapi mereka juga tidak pernah tewas set, semua menang 2-0, jadi keinginan untuk menjadi pasukan pertama menewaskan mereka memberi mereka semangat tambahan.
āSaya juga telah arahkan pemain-pemain memberi tekanan awal supaya tekong dia tercari-cari rentak, sasaran kita adalah membuatkan fokus mereka terganggu, tidak membenarkan mereka mendapat rentak dan itulah yang kita lakukan. Kita tampil cukup baik ketika menyerang dan Aizat (tekong) bermain cemerlang hari ini, banyak mata datang daripada dia,ā ujar Azhar.
Kekalahan buat ATM Guardians bagaimanapun tidak merubah kedudukan mereka di kedudukan teratas tatkala KL Thunder berjaya melonjak ke tangga kedua liga. Ā
Dalam aksi lain, Johor Tigris mencatat kemenangan keempat dan sekaligus menambah derita pasukan tangga tercorot Melaka Titans apabila menghadiahkan juara Divisyen Satu musim lalu itu kekalahan keenam berturut-turut.
Apit kanan kebangsaan Noraizat Nordin yang kembali ke dalam regu utama setelah pulih daripada kecederaan berganding cemerlang bersama Muqlis Borhan dan Noor Azman Hamid untuk menang 2-0 (21-16, 21-19) ke atas Sahidan Ali-Hasif Yusuf-Hafizudin Baharudin.
Perak Bison pula bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan PDRM Defenders 2-1. Regu Heppy Itam-Fadzil Mustapha-Azwan Muhrim tewas 19-21 pada set pertama namun tampil dengan permainan lebih kemas pada set kedua untuk menang 21-18 sebelum menang set penentuan 21-11.
Satu lagi aksi menyaksikan Kelantan Warriors mengecap kemenangan pertama selepas tewas dua aksi sebelum ini dengan menewaskan Terengganu Turtles 2-1.
Kemenangan bagaimanapun tidak hadir dengan mudah buat regu bimbingan Roslan Ismail apabila trio Hisyam Mat-Aidil Aiman Azwawi-Wan Naim Izani tewas set pertama 15-21. Kemasukan Farid menggantikan Hisyam membantu Kelantan Warriors tampil lebih baik apabila menang 21-10 pada set kedua dan 21-17 pada set penentuan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN