PDRM Defenders melakar kejutan besar di Gem In Mall, Cyberjaya pada Jumaat apabila menewaskan pendahulu liga yang juga juara bertahan Penang Black Panthers 2-0 dalam aksi Sepaktakraw League (STL) Premier 2018.
Black Panthers yang kembali merampas kedudukan pendahulu pada minggu lalu setelah mencatat empat kemenangan berturut-turut, diramal tidak berdepan masalah untuk menewaskan PDRM Defenders yang menghuni tangga kelapan liga.
Namun, sebaliknya berlaku apabila Black Panthers yang membariskan regu simpanan mereka Said Ezwan Said De-Kamal Ishak-Saiful Azri Shahnon tampil dengan persembahan longlai dan kurang meyakinkan sebelum tewas mudah 11-21, 19-21 kepada trio PDRM Defenders Shafiq Rahman-Shaifullah Nor-Syahmi Hussin.
Jurulatih Black Panthers Helmi Ismail menafikan pasukannya memandang enteng cabaran PDRM Defenders dengan merehatkan pemain-pemain utama seperti Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Zaim Razali sebaliknya menekankan bahawa dia memberi peluang kepada pemain-pemain lain untuk membuktikan kebolehan.
Syahir dan Zaim masuk pada set kedua manakala Azlan pula tidak diturunkan.
“Kita mahu memberi peluang kepada semua pemain untuk beraksi dan menguji mereka. Saya akui kita tewas kepada pasukan yang bermain lebih baik, kita cuba untuk bangkit pada set kedua dengan masukkan Zaim, Syahir tetapi ianya sedikit sukar kerana mereka bertahan dengan baik. Mungkin ketiadaan Azlan juga satu faktor, kita kurang menyengat ketika menyerang,” kata Helmi.
Kekalahan dialami oleh Black Panthers, membantu ATM Guardians untuk kembali semula ke kedudukan teratas setelah pasukan itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Terengganu Turtles 2-1.
Zulkifli Razak-Izuddin Zulkarnain-Hanafiah Dollah membantu Terengganu Turtles bermula dengan positif apabila menang set pertama 21-19 ke atas Hairul Hazizi Haidzir-Norfaizzul Razak-Ab Muhaimi Bongsu.
Jurulatih, Aswadi Abdullah membuat pertukaran dengan mengeluarkan Ab Muhaimi dan memasukkan apit kanan veteran Khairudin Adenan dan ianya membuahkan hasil apabila ATM Guardians banyak mendapat mata daripada rejaman bertenaga Khairudin yang membantu mereka menang set kedua 22-20 dan kemudiannya menang mudah di set ketiga 21-9.
Dalam aksi lain, gandingan Heppy Itam-Azwan Muhrim-Fadzil Mustapha membantu Perak Bison memulakan aksi pusingan kedua mereka dengan melakar kemenangan kelima setelah mengetepikan tentangan sengit KL Thunder 2-1 (22-20, 17-21, 21-19).
Manakala Johor Tigris pula mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Kelantan Warriors 2-0.
Kemenangan bagaimanapun tidak hadir dengan mudah buat Johor Tigris. Setelah menang 21-17 di set pertama, mereka dilihat dalam laluan mencatat kemenangan mudah apabila mendahului 20-16 pada satu ketika tetapi membenarkan Kelantan Warriors bangkit mengikat kedudukan 21-21 sebelum melakar kemenangan dramatik 25-23. – OLEH MUHAMMAD AIMAN