Pemburuan kejuaraan Sepaktakraw League (STL Premier) 2018 menuju ke pengakhiran dramatik setelah ATM Guardians melakar kemenangan ke atas Kelantan Warriors pada Ahad.
Kemenangan straight set 2-0 dilakar regu ATM Guardians di Gem In Mall Cyberjaya merupakan yang ke-13 buat mereka musim ini, membolehkan pasukan itu melangkah ke minggu terakhir saingan dengan meraih kelebihan tipis ke atas juara bertahan Penang Black Panthers.
ATM Guardians melonjak semula ke kedudukan teratas liga dengan mengumpul 26 mata, mengatasi Penang Black Panthers yang turut mengumpul 26 mata hanya menerusi jumlah beza set menang.
Ini bermakna seandainya ATM Guardians dapat memenangi baki dua aksi musim ini menentang Selangor Pistons pada 23 November dan KL Thunder pada 24 November depan, kejuaraan STL Premier akan menjadi milik mereka.
Bagi jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, belum masanya untuk mereka terbuai namun dia memuji komitmen ditunjukkan pemainnya.
“Syukur kerana kita sasar untuk menang bersih dalam baki perlawanan yang tinggal dan cukup gembira setakat ini berjaya melakukannya, pemain memahami dan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cukup baik. Kita berada di landasan yang betul dan saya berharap kita tidak hilang fokus menuju ke minggu terakhir yang cukup getir,” katanya.
Pada perlawanan itu ATM Guardians turun dengan menyedari bahawa mereka tiada pilihan selain perlu menang straight set jika mahu terus memberi tekanan kepada Penang Black Panthers.
Tatkala Kelantan Warriors dijangka akan memberikan tentangan sengit, lain pula ceritanya apabila gandingan Hairul Hazizi Haidzir-Norfaizzul Razak-Khairudin Adenan tidak berdepan masalah besar untuk menang 21-10, 21-16 ke atas Farid Aziz-Wan Naim Izani-Aidil Aiman Azwawi.
Ditanya sama ada Kelantan Warriors sengaja memberi laluan kepada pasukannya, Aswadi secara berseloroh berkata, “Mungkin ada benarnya tanggapan itu.”
Namun dalam nada serius jurulatih kelahiran Kelantan itu berkata, “Saya merasakan Kelantan Warriors telah memberikan tentangan yang baik, ia bukan kemenangan yang mudah. Cuma mungkin kerana apit kiri (Aiman) mereka keletihan kerana baru sampai jadi mereka tidak dapat menunjukkan kualiti permainan sebenar. Manakala pemain saya pula berjaya kurangkan kesilapan dan menghukum kesilapan mereka. Itu sahaja bezanya.”
Dalam pada itu, KL Thunder mengukuhkan cengkaman di tangga ketiga setelah gandingan trio Aizat Azmi-Amirul Zazwan Amir-Norhafizi Razak menundukkan Selangor Pistons yang diwakili Shafiq Shariff-Arif Badri-Amirul Shafiq Shamudin 2-0 (21-10, 21-17).
Melaka Titans yang menghuni tangga tercorot pula membenarkan Perak Bison bangkit daripada kekalahan set pertama untuk melakar kemenangan keenam musim ini.
Perak Bison menerusi gandingan Yus Hanif Rosli-Azwan Muhrim-Fadzil Mustapha tewas set pertama 18-21 sebelum bangkit mengesahkan kemenangan 21-17, 21-17 dalam dua set berikutnya.
Aksi lain menyaksikan Terengganu Turtles yang kehilangan beberapa pemain utama tampil dengan aksi longlai menyaksikan mereka mengalami kekalahan kesepuluh setelah tewas mudah 0-2 (10-21, 7-21) di tangan PDRM Defenders. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
Keputusan (18 November 2018) :
PDRM Defenders mng Terengganu Turtles (2-0 : 21-10, 21-7)
ATM Guardians mng Kelantan Warriors (2-0 : 21-10, 21-16)
KL Thunder mng Selangor Pistons (2-0 : 21-10, 21-17)
Perak Bison mng Melaka Titans (2-1 : 18-21, 21-17, 21-17)