Cassio

Kelantan berminat mendapatkan semula khidmat bekas pemain pertahanan mereka, Amiridzwan Taj Tajuddin bagi memperkuatkan benteng pertahanan musim hadapan, meskipun sudah mempunyai lima pemain lain bagi bermain di posisi itu. 

Selain pemain import yang baru ditandatangani, Cassio Francisco de Jesus, The Red Warriors mempunyai Farisham Ismail, Faizol Nazlin Sayuti, Nik Shahrul Azim dan Nasharizam Abdul Rashid untuk bermain di posisi itu justeru keperluan untuk mereka mengintai khidmat Amiridzwan menjadi tanda tanya.

Apatah lagi bekas pemain kebangsaan berusia 31 tahun itu tidak mengharungi perjalanan karier yang memberangsangkan sejak dua musim kebelakangan  kerana masalah kecederaan lutut kanan yang dialami ketika mewakili Terengganu pada 2016.

Penampilannya bersama PKNS FC musim ini juga cukup terhad kerana kecederaannya kembali berulang namun pemain tinggi lampai yang diketengahkan bakatnya oleh Uitm FC itu diakui salah seorang pemain pertahanan terbaik dalam negara jika berada pada tahap kecergasan dan prestasi sebenarnya.

Dia pernah beraksi mewakili Kelantan pada 2015, dibawa masuk pada pertengahan musim selepas membuat keputusan meninggalkan Angkatan Tentera Malaysia namun jodohnya bersama sang kijang hanya bertahan selama lapan bulan sahaja berikutan pasukan itu mengalami masalah kewangan tenat sehingga berlakunya tunggakan gaji.

Amiridzwan bersama empat lagi pemain TRW pada musim tersebut iaitu Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Nazri Ahmad dan Fitri Omar kemudiannya membawa isu tunggakan gaji mereka ke pengetahuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia (PFAM) sekaligus menjadi isu hangat dibincangkan peminat bolasepak tempatan ketika itu.

Tunggakan gaji mereka bagaimanapun akhirnya diselesaikan Persatuan Bolasepak Kelantan menerusi kaedah pembayaran berkala yang dipersetujui bersama.

Untuk rekod, KAFA ketika mengumumkan senarai pemain baru pada bulan lalu, menyatakan bahawa mahu membina sebuah skuad dari tenaga muda yang direkrut dari Piala Presiden dan memberi lebih ruang kepada pemain-pemain ini menyerlahkan bakat mereka.

Mereka hanya mengekalkan khidmat beberapa pemain senior termasuklah Khairul Fahmi Che Mat, Norfarhan Mohd, Badhri Radzi dan Farisham manakala pemain-pemain seperti S.Subramaniam, Norhafiz Zamani Misbah dan Indra Putra Mahyuddin semuanya digugurkan.

Begitupun, selepas itu mereka telah membawa masuk pemain Selangor, S.Veenod serta penyerang JDT II, Shafiq Shaharudin dan sedang mengintai khidmat beberapa pemain senior dari luar untuk memperkuatkan pasukan, sekaligus menimbulkan persoalan mengenai kudrat tenaga muda yang diomongkan sebelum ini.

Baru-baru ini, KAFA di bawah bimbingan Bibi Ramjani Ilias Khan turut membuat keputusan membawa masuk bekas jurulatih Perlis dan Felcra FC, Yusri Che Lah sebagai pembantu kepada Sathit Bensoh – menariknya kedua-dua jurulatih ini tidak mempunyai sebarang pencapaian untuk dibanggakan dalam bidang kejurulatihan justeru ramai yang mahu melihat sejauh mana wibawa gandingan dua jurulatih yang masih mentah ini. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -