Peluang skuad bawah 23 tahun Malaysia untuk meneruskan kemaraan lebih jauh dalam saingan Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 nampak sedikit berliku apabila lawan yang menanti mereka di pusingan kedua adalah sebuah lagi pasukan gergasi Asia, Jepun.
Juara edisi 2010 itu menamatkan aksi Kumpulan D selaku naib juara selepas kecundang 0-1 di tangan finalis Kejuaraan AFC B-23, Vietnam dalam aksi terakhir kumpulan pada Ahad menerusi jaringan tunggal Nguyen Quang Hai pada minit ketiga.
Malaysia pula sudah lebih awal mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan E selepas kejayaan menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi kedua pada Jumaat lalu meskipun masih ada baki satu perlawanan untuk diharungi iaitu menentang Bahrain pada Isnin.
Kali terakhir Malaysia dan Jepun bertembung di pentas Sukan Asia adalah pada 2010 apabila Jepun mencatat kemenangan 2-0 menerusi jaringan Kensuke Nagai dan Hotaru Yamaguchi dalam aksi Kumpulan A dalam laluan muncul juara buat pertama kali.
Sementara itu, Bangladesh sekali lagi mencuri tumpuan apabila melangkah ke pusingan kedua dengan menewaskan tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar 1-0 menerusi jaringan tunggal Jamal Harris Bhuyan pada masa kecederaan.
Bangladesh menamatkan aksi kumpulan di tangga kedua Kumpulan B dengan empat mata. Mereka sebelum ini membuka kempen Sukan Asia dengan kekalahan 0-3 di tangan Uzbekistan tetapi kemudiannya berjaya mengikat jagoan Asia Tenggara, Thailand 1-1.
Dalam aksi lain, Thailand tewas 0-1 kepada Uzbekistan dan mengumpul hanya dua mata – mereka kini mengharapkan untuk berada dalam kelompok empat pasukan tangga ketiga terbaik.
China pula melangkah ke pusingan kedua selaku juara Kumpulan C setelah melakar kemenangan ketiga dengan menewaskan Emiriah Arab Bersatu 2-1. Mengiringi China adalah Syria yang menduduki tangga kedua kumpulan dengan enam mata setelah membelasah Timor Leste 5-2. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
Keputusan (19 Ogos 2018)
Kumpulan B
Bangladesh 1-0 Qatar, Thailand 0-1 Uzbekistan
Kumpulan C
Timor Leste 2-5 Syria, UAE 1-2 China
Kumpulan D
Vietnam 1-0 Jepun, Pakistan 2-1 Nepal