Malaysia melangkah gah ke perlawanan akhir acara regu berpasukan lelaki di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 setelah mencatat kemenangan mudah 2-0 ke atas tuan rumah Indonesia di peringkat separuh akhir yang berlangsung Selasa.
Sedikit pertukaran taktikal oleh jurulatih Abdul Talib Ahmad yang menurunkan Syazreenqamar Salehan, Zulkifli Razak dan Hafizi Razak sebagai regu pertama menyaksikan gandingan itu mencatat kemenangan 21-17, 21-13 ke atas regu pertama Indonesia.
Trio Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias yang turun sebagai regu kedua pula tewas set pertama kepada regu kedua Indonesia dipimpin Hendra Pago tetapi bangkit bergaya untuk mengesahkan kemenangan 16-21, 21-18, 21-14 di Ranau Hall, Bandar Sukan Jakabaring.
Dengan kemenangan ini, Malaysia memperbaiki pencapaian memenangi pingat gangsa di Incheon empat tahun lalu dalam masa sama turut berjaya membalas dendam kekalahan memalukan di tangan Indonesia dalam aksi peringkat kumpulan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Menanti Malaysia di final yang akan berlangsung Rabu nanti adalah musuh tradisi, Thailand yang tidak berdepan masalah besar menyingkirkan India dengan kemenangan 2-0.
Untuk rekod, empat tahun lalu Thailand memenangi pingat emas dengan menundukkan Korea Selatan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN