Selepas begitu lama menjadi tanda tanya, status penyertaan skuad sepaktakraw Malaysia dalam acara antara regu di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 terjawab apabila mereka dibenarkan beraksi dalam acara prospek emas itu oleh Persatuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).
Ia disahkan oleh Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader yang menyatakan keputusan itu dibuat demi menjaga hubungan serantau dan kesejahteraan sejagat negara-negara yang mengambil bahagian.
Malaysia akan bermain di dalam Kumpulan B bersama-sama Korea Selatan, India, Nepal dan China manakala tuan rumah Indonesia, Filipina, Singapura dan Pakistan pula dipertemukan di dalam Kumpulan A.
Keputusan membenarkan Malaysia bertanding bagaimanapun dilaporkan menerima bantahan hebat daripada Indonesia dan India yang menyifatkan keputusan yang dibuat itu tidak mengikut peraturan.
Isu ini timbul setelah nama Malaysia tercicir daripada penyertaan dalam acara antara regu sebaliknya hanya disenaraikan dalam acara regu berpasukan dan beregu berpasukan ketika majlis undian di Jakarta awal bulan lalu.
Bagaimanapun Majlis Olimpik Malaysia dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia menafikan melakukan sebarang kesilapan pendaftaran kerana Malaysia hanya menyertai acara regu dan regu berpasukan di Sukan Asia 2018.
Setelah tiada kata putus dicapai tatkala masa semakin suntuk, Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC) telah meminta campur tangan Astaf bagi menyelesaikan perkara ini.
“Jika dilihat dalam Buku Panduan Teknikal Sukan Asia 2018, ada menyatakan andai berlakunya isu teknikal, keputusan itu terserah kepada badan induk sukan di Asia untuk memutuskannya dan itulah yang kita lakukan dalam isu ini.
“Keputusan yang kita capai ini memang bukan mudah, kerana ia mendapat tentangan hebat negara bertanding. Bukan sahaja Indonesia dan India yang membantah, China, Pakistan, Singapura, India, Filipina, Korea Selatan dan Nepal juga membuat bantahan.
“Tetapi kita fikirkan kesejahteraan sejagat dan telah bermesyuarat dengan wakil-wakil negara bertanding dan berjaya mengetepikan protes itu,” ujar Abdul Halim.
Pada edisi 2014, Malaysia membawa pulang pingat gangsa dari acara antara regu menerusi gandingan Ahmad Aizat Nor Azmi, Syazreenqamar Salehan, Fadzlee Roslan, Zamree Dahan dan Syahir Rosdi. – OLEH MUHAMMAD AIMAN