Pemain skuash wanita negara, S.Sivasangari sudah bersedia untuk mengegar dalam penampilan sulungnya di Sukan Asia bagi memastikan Malaysia akan kekal mendominasi acara perseorangan wanita di temasya itu.
Juara kebangsaan itu tidak mahu menjadikan mentah pengalaman sebagai alasan untuk merendah diri sebaliknya berpendapat ini adalah peluang terbaik untuk mengorak langkah lebih besar di dalam memacu perjalanan kariernya.
“Ini kejohanan kedua terbesar bagi saya tahun ini selepas Sukan Komanwel. Saya akui ia satu tekanan yang besar, tetapi saya akan turun sebagai underdog dan ini peluang bagi saya membuktikan sesuatu.
“Inilah masanya yang terbaik, saya mahu menimba sebanyak mungkin pengalaman, cuba untuk melakar kejutan dan mara sejauh mungkin yang boleh,” kata Sivasangari.
Untuk rekod, pingat emas acara perseorangan wanita dalam tiga edisi terakhir 2006, 2010 dan 2014 diungguli oleh Malaysia menerusi ratu skuash Dato’ Nicol David dan Sivasangari menjadikan kejayaan dan pencapaian dilakar bekas pemain nombor satu dunia itu sebagai inspirasi.
“Ianya sesuatu yang mengujakan untuk mendapat peluang beraksi bersama Nicol dalam acara perseorangan, saya cukup mengaguminya dan yakin beliau akan tampil pada tahap fizikal dan prestasi terbaik nanti,” tambah Sivasangari.
Pemain berusia 19 tahun itu yang berada di ranking ke-40 dunia diletakkan sebagai pilihan ke-5/8 manakala Nicol pula merupakan pilihan utama untuk memenangi emas.
Antara pencabar yang dijangka menjadi halangan terbesar dalam acara perseorangan adalah pemain di ranking ke-11 dunia Annie Au dari Hong Kong serta Joshna Chinappa dari India.
Sementara itu, dalam acara berpasukan pula Sivasangari akan bergandingan dengan Nicol, Low Wee Wern dan Aifa Azman – pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu percaya Malaysia mempunyai kekuatan yang diperlukan untuk mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut.
”Kita mempunyai sebuah pasukan yang mantap. Tengok Nicol dan semangatnya, tengok Wee Wern, dia sedang berada pada prestasi memuncak selepas kembali dari kecederaan, ibarat seekor singa yang lapar. Malah saya sendiri mengambil iktibar untuk kembali lebih kuat setelah kandas di separuh akhir Terbuka Malaysia bulan lalu.
“Jadi semua yang saya lihat ini memberi keyakinan bahawa kita mempunyai peluang yang cukup baik, yang penting bermain seperti biasa dan tidak meletakkan tekanan mengatasi segala-galanya,” kata Sivasangari lagi.
Sebagai rekod, Wee Wern yang tersisih 20 bulan kerana kecederaan lutut kembali ke gelanggang dengan cukup bertenaga pada bulan lalu apabila memenangi tiga kejuaraan berturut-turut dalam masa tiga minggu – Terbuka Malaysia, Terbuka Tasmania dan Terbuka Australia.
Skuash di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 akan berlangsung dari 23 Ogos hingga 26 Ogos bagi acara individu manakala acara berpasukan pula dari 27 Ogos hingga 1 September. MUHD AIMAN