Bintang Korea Selatan yang bermain untuk Tottenham Hotspur, Son Heung Min mengaku dia cukup malu dan terlalu sukar menerima hakikat bahawa pasukannya tewas di tangan Malaysia dalam aksi Sukan Asia.
Son yang mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol yang menyingkirkan Jerman dari Piala Dunia pada bulan Jun lalu tidak bermain di dalam kesebelasan utama dan hanya dibawa masuk pada babak kedua ketika pasukan itu ketinggalan 0-2.
Kemasukannya menyuntik tenaga di barisan depan Korea Selatan namun ia tetap gagal untuk membantu skuad juara bertahan itu bangkit menterbalikkan keputusan sebaliknya hanya berjaya merapatkan jurang sebelum kecundang 1-2.
“Mungkin kami terlalu mengambil mudah Malaysia selepas kemenangan besar pada aksi pertama menentang Bahrain. Semuanya menjadi bercelaru dan pemain bingung apabila melihat skor di separuh masa pertama kami ketinggalan 0-2, situasi yang tidak pernah berlaku. Memang saya sangat malu,” katanya.
Kekalahan itu turut menyaksikan peluang Korea Selatan mempertahankan pingat emas Sukan Asia mengalami tamparan hebat dengan laluan lebih berliku menanti di pusingan kalah mati sekiranya melepasi peringkat kumpulan selaku naib juara Kumpulan E.
Mereka berkemungkinan akan menentang Arab Saudi atau Iran yang dijangka akan muncul juara Kumpulan F.
Kegagalan memenangi pingat emas Sukan Asia juga akan menyaksikan Son terpaksa menjalani khidmat ketenteraan selama dua tahun. Undang-undang Korea menetapkan setiap lelaki perlu menjalani latihan Khidmat Negara selama 21 bulan sebelum berusia 28 tahun. MUHD AIMAN