Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merancang untuk mengembalikan semula kerancakkan budaya bersukan di Malaysia.
Beberapa cadangan serta prosedur operasi standard (SOP) telah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meluluskan lebih banyak aktiviti sukan dan rekreasi.
“Akan ada pengumuman rasmi mengenai aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan atau dilarang dalam masa terdekat ini,”kata Menteri KBS, Datuk Seri Reezal.
Sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerajaan hanya membenarkan sukan dan riadah tertentu sahaja terutama yang tidak melibatkan sentuhan secara langsung seperti badminton, golf, berbasikal, larian atau joging dengan had yang ditetapkan tidak melebihi 10 orang.
Aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan seperti sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium.
Tambah Reezal lagi, KBS juga mengharapkan fasiliti sukan tertutup serta sukan sukan yang tidak dibenarkan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada pihak kerajaan terutama MKN dan KKM.
“Antara yang sedang dipertimbangkan oleh pihak kerajaan adalah untuk membenarkan pembukaan fasiliti sukan tertutup seperti gimnasium, dewan badminton dan lain lain serta membenarkan aktiviti sukan berpasukan seperti bolasepak, hoki, sepak takraw ragbi dan lain lain untuk tujuan aktiviti latihan dan permainan tanpa kontak fizikal dengan penjarakkan dua hingga lima meter serta tidak melibatkan perhimpunan ramai,”katanya lagi.
Sebarang keputusan akan diumumkan oleh pihak kerajaan dalam masa terdekat.