najib-2

najib-3

Oleh Muhammad Aiman

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan sukan adalah elemen penting di dalam menyemarakkan sentimen kenegaraan.

Menurutnya, sambutan hebat yang dapat dilihat ketika meraikan pencapaian luar biasa atlet negara di Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio De Janeiro baru-baru ini membuktikan betapa sukan telah menjadi medium penyatuan rakyat yang cukup ampuh.

“Saya tahu sukan boleh menaikkan semangat rakyat sesebuah negara. Setiap kali saya tweet tentang sukan, saya dapat respon berlipat kali ganda, apabila tweet tentang politik tiada sambutan. Ini bermakna sukan dekat dan popular di hati rakyat. Jadi kalau kita bangunkan sukan, mood kenegaraan, sentimen kenegaraan akan menjadi lebih positif,” kata Najib.

Dalam masa sama, beliau mahu rakyat berbilang kaum di negara ini mengambil iktibar dari kejayaan atlet-atlet negara di dua temasya sukan terbesar dunia itu untuk terus mengorak langkah ke depan dan mencapai kejayaan dalam apa jua bidang diceburi.

“Saya nak cerita mereka itu dijadikan sebagai iktibar buat kita, sebagai ransangan, sebagai inspirasi buat semua. Bukan sahaja kepada ahli sukan, tetapi nilainya, pengorbanannya, dedikasinya, fokusnya, komitmennya, kualitinya, kalau mereka boleh berjaya dalam bidang sukan, mereka juga boleh berjaya dalam apa jua bidang.”

Najib berkata demikian ketika berucap di majlis penghargaan wira dan wirawati Olimpik dan Paralimpik Rio anjuran UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang lain.   

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah keseluruhan RM190,000 daripada UMNO kepada 12 pemenang pingat di temasya olimpik dan paralimpik di mana setiap pemenang emas menerima RM30,000, perak (RM20,000) dan gangsa (RM10,000).

Malaysia melakar pencapaian terbaik dalam sejarah di kedua-dua temasya itu tahun ini dengan meraih empat perak dan satu gangsa di olimpik Ogos lalu manakala tiga emas dan satu gangsa dibawa pulang dari paralimpik dua minggu lalu.

Sementara itu, pemenang pingat gangsa acara keirin Azizulhasni Awang berkata, “Saya berterima kasih di atas penghargaan berterusan ini. Ini sudah tentunya satu motivasi buat saya dan juga atlet-atlet lain. Kami rasa sangat dihargai dan mahu membalas semua pemberian ini dengan pencapaian lebih baik di Tokyo 2020.”

- Advertisement -