Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) secara rasminya membatalkan temasya Sukan Para ASEAN (APG) edisi ke 10 susulan pandemik Covid 19.
Presiden APSF, Mejar Jeneral Osoth Bhavilai menerusi kenyataan berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti keputusan yang dibuat oleh Pesuruhjaya Sukan FIlipina (PSC)
“Berdasarkan keputusan daripada PSC di Filipina, ingin saya nyatakan Sukan Para ASEAN edisi ke 10 secara rasminya dibatalkan. Kami berterima kasih kepada Filipina di atas usaha yang telah dilakukan demi temasya itu,”kata Bhavilai.
Tambah Bhavilai lagi, APSF turut mengambil kira kenyataan daripada Pengerusi PSC, William Ramirez dimana Filipina terpaksa menggunakan peruntukkan yang sepatutnya digunakan untuk penganjuran APG bagi menangani penularan Covid 19.
Surat kepada APSF telah dihantar oleh Ramirez melalui Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC) Michael Barredo pada 3 Mei lalu yang menyatakan penarikan semula peruntukkan bagi penganjuran APG 2020.
“APSF akan mengambil langkah yang seterusnya, mengadakan mesyuarat secara atas talian dengan Lembaga Pentadbir APSF dalam masa terdekat untuk membincangkan pembatalan dan langkah yang akan diambil selepas ini,”tambahnya lagi.
Sukan Para ASEAN edisi ke 10 sepatutnya dilangsungkan pada 3-9 Oktober selepas beberapa kali ditunda pada tahun ini atas faktor kewangan.
Namun, keadaan semakin parah ketika penularan Covid 19 pada Mac memaksa Filipina memutuskan untuk membatalkan kesemua acara sukan bagi tahun ini melainkan vaksin telah ditemui.