Hampir tiga minggu selepas menjadi saksi upacara penutup Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 penuh gemilang, Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi bermandi cahaya, kali ini meraikan upacara pembukaan Sukan Para ASEAN.
Temasya Para ASEAN dibuka dengan penuh pertunjukan warna warni pada Ahad menampilkan kepelbagaian budaya dan kesenian tempatan dalam masa sama mengangkat keunikan golongan kelainan upaya di rantau ini.
Majlis bermula dengan perarakan masuk bendera kontijen bersama bendera Persekutuan Para ASEAN ke-9 oleh Angkatan Tentera Malaysia.
Perarakan didahului Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste, Vietnam dan akhir sekali Malaysia diketuai Chef De Mision, Dato’ Subramaniam Raman manakala dua wira paralimpik – Ziyad Zolkefli dan Abdul Latiff Romly diberi penghormatan sebagai pembawa bendera.
Upacara pembukaan temasya yang bertemakan Bangkit Bersama turut memperkenalkan maskot Para Rimau yang berkerusi roda.
Ia kemudian diteruskan dengan persembahan muzikal dan kebudayaan oleh The Beautiful Gate Foundation, Persatuan Syndrome Down Malaysia, United Voice Self Advocacy Society of Persons with Learning Disabilities Selangor & Kuala Lumpur, Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah yang turut juga disertai oleh penari Sayang Farah Sulaiman (Farah Sulaiman’s Sayang dancers).
Ia diserikan lagi dengan persembahan pemain piano autistik, Clarence Kang mengiringi paparan ilustrasi hasil nukilan anak-anak dari Persatuan Syndrome Down Malaysia yang memaparkan perspektif mereka tentang Sukan Para ASEAN.
Stadium Nasional dibanjiri lebih 40,000 penonton terus bergemuruh apabila penyanyi Yunaris Zarai atau lebih dikenali Yuna tampil menyanyikan lagu bertajuk Rescue.
Selepas ucapan Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF), Major Jeneral Osoth Bhavilai dan Menteri Belia dan Sukan, Brig Jeneral Khairy Jamaludin, majlis diteruskan dengan pengumuman perasmian temasya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Atlet powerlifting, Sharifah Raudzah Syed Akil kemudiannya mengetuai bacaan ikrar mewakili kesemua atlet yang mengambil bahagian di temasya ini.
Mengakhiri upacara pembukaan, perarakan masuk obor kejohanan oleh lima jaguh para, Hasihin Sanawi, Afiq Afifi Rizan, Krishna Kumar Haridas, Siti Noor Radiah Ismail dan Fraiden Dawan.
Temasya Para ASEAN akan berlangsung dari 17-23 September, dengan 368 pingat emas menjadi rebutan dari 16 sukan yang dipertandingkan.