UPACARA pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada 19 Ogos ini bukan sahaja bakal menjadi acara gilang gemilang, malahan dijangka menjadi upacara paling hebat dalam sejarah penganjuran temasya dwitahunan itu.
Jawatakuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Kuala Lumpur 2017 kini dalam fasa terakhir menyediakan segala keperluan untuk memastikan acara tersebut berlangsung dalam suasana paling meriah.
Kata Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Dato’ Sri Zolkples Embong:
“Segala kemudahan telah dibawa masuk dan dari segi penyediaan tempat duduk semuanya lancar. Untuk persembahan banyak latihan telah diadakan melibatkan peserta yang ramai.”
Menurut Dato’ Seri Zolkples, tempoh dua minggu ini amat pentingbagi pihak penganjur meneliti segala persiapan secara terperinci dan memastikan tiada kekurangan.
“Pada 19 Ogos nanti, kita akan saksikan satu majlis perasmian yang tidak pernah dilihat sebelum ini,” kata Dato’ Sri Zolkples ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian antara syarikat eletronik terkemuka, Sony Malaysia Sdn Bhd.
Mengenai tiket, Dato’ Sri Zolkples memaklumkan setakat ini lebih 70 peratus tiket untuk menyaksikan upacara pembukaan itu sudah terjual dan lebih ramai dijangka hadir di Stadium Nasional yang berkapasiti 80,000 penonton itu.
“Saya nasihatkan orang ramai agar beli tiket awal, jangan tunggu saat akhir. Seperti kita tahu, mungkin ada usaha menjual tiket di pasaran gelap dengan harga lebih tinggi, jadi elakkan. Sekarang amat mudah membeli secara online jadi sepatutnya tiada isu,” katanya.
Tiket bagi acara bolasepak pula, menurut Dato’ Sri Zolkples, cukup menggalakkan terutama bagi perlawanan-perlawanan membabitkan pasukan negara serta beberapa perlawanan tumpuan lain.
Malaysia B-22 kendalian Dato’ Ong Kim Swee akan beraksi kesemua aksi peringkat kumpulan menentang Brunei, Singapura, Myanmar dan Laos di Stadium Shah Alam dan Zolkples berkata mereka akan beraksi di Stadium Nasional sekiranya layak ke perlawanan akhir.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Dato’ M. Saravanan menasihatkan orang ramai yang hadir menyaksikan upacara perasmian serta pertandingan-pertandingan berlangsung di sekitar Bandar Sukan Bukit Jalil agar menggunakan pengangkutan awam.
“Di antara laluan LRT disediakan 18,000 tempat letak kereta…jadi sesiapa yang menuju ke Bukit Jalil, harap menaiki tren sahaja. Atau boleh letak kereta di Kelab Lumba Kuda yang mempunyai 3,000 tempat letak kereta dan perkhidmatan shuttle disediakan. Pihak penganjur dan PDRM tidak membenarkan mana-mana kenderaan tanpa pelekat masuk ke kawasan Stadium Nasional,” ujarnya.