DENGAN harga tiket serendah RM10, peminat dan orang ramai boleh menyaksikan aksi Sukan SEA ke-29 secara dekat dan langsung di stadium dan venue, membabitkan 19 acara sukan utama sepanjang temasya dari 19 hingga 30 Ogos nanti.
Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC) Kuala Lumpur 2017 melancarkan penjualan tiket bagi Sukan SEA 2017 yang dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada Selasa (4 Julai 2017). Pelancaran jualan tiket Sukan SEA 2017 itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin di Sekretariat MASOC di Bukit Jalil.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Dato’ Seri Zolkples Embong, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo dan Ketua Pegawai Operasi MASOC En Shaiful Subhan.
Acara yang dikenakan tiket termasuk acara terjun, renang, renang berirama, polo air, badminton, gimnastik, karate, taekwondo, pencak silat, futsal, bola jaring, ragbi, berbasikal trek, bola keranjang, sepak takraw, billiard dan snuker, muay dan bolasepak.
Manakala 32 acara sukan lain dapat ditonton secara percuma tanpa tiket termasuk akuatik (renang terbuka), memanah, olahraga, tenpin boling, tinju, kriket, berbasikal (BMX dan jalanraya), ekuestrian, lawan pedang, golf, hoki, hoki ais, luncur ais, judo, boling padang, petanque, sukan layar dan pelbagai acara lain lagi.
Bagi Sukan Para ASEAN ke-9 pula, tiada tiket dikenakan untuk penonton yang berminat menyaksikan kesemua 16 sukan yang dipertandingkan dari 17-23 September depan.
Mengulas rasional penjualan tiket berkenaan, YB Brig Jen Khairy berkata: “MASOC menyedari keperluan memastikan kehadiran penonton, terutama bagi acara yang digemari ramai, dapat diatur dengan lebih sistematik dan terkawal. Justru, keperluan menjual tiket bagi lokasi pertandingan yang kapasiti penontonnya terhad berbanding dengan permintaan, perlu di perkenalkan.”
Selain penjualan tiket atas talian menerusi laman web www.kualalumpur2017.com.my, orang ramai juga boleh membeli tiket di beberapa pusat jualan yang akan dimaklumkan kemudian.
“MASOC memastikan harga tiket adalah berpatutan, antara RM10 sehingga RM20, berbanding harga tiket ke temasya sukan utama lain, iaitu sekurang-kurangnya RM50.
“Bagi mereka yang ingin membeli tiket ketika berlangsungnya temasya nanti, boleh berbuat demikian di kiosk tiket di venue pertandingan secara tunai, kad debit dan kad kredit,” kata beliau.
Sepanjang temasya berlangsung, pihak keselamatan juga akan ditempatkan di perkarangan pintu masuk venue terbabit bagi memastikan prosedur keselamatan khususnya melibatkan tiket palsu dan ulat tiket tidak berlaku.