Singapura memenangi pingat emas acara wakeboard terbuka wanita di Kompleks Sukan Air Putrajaya hari Sabtu (26 Ogos).

Sasha Siew Hoon Christian, yang juga dikenali sebagai ratu wakeboard, mendapat 62.78 mata untuk memenangi emas.

Juara Sukan SEA 2011 di Palembang dan 2015 di Singapura itu cemerlang pada pusingan kelayakan hari Jumaat (25 Ogos) dengan 59.45 mata. 

Galuh Mutiara Maulidina dari Indonesia dengan 47.67 mata meraih pingat perak manakala seorang lagi atlet Singapura, Gooi Jia Yi (36.89 mata) pingat gangsa.

Sasha juga akan bertanding dalam acara ski air terbuka wanita yang mempunyai disiplin slalom, tricks and jumps.

Sementara itu, dalam kategori wakeboard terbuka lelaki, dua peserta Thailand memenangi pingat emas dan perak, masing-masing menerusi Padiwat Jaemjan dan Tatsanai Kuakoonrat.

Padiwat, yang menyambut hari lahirnya yang ke-29 pada Jumaat (25 Ogos), mencatat 69.78 mata, Tatsanai 66.89 mata manakala Mark Griffin (63 mata) pingat gangsa.

- Advertisement -