Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) berpuas hati dengan persiapan di Tasik Putrajaya Presint 8 yang bakal menjadi gelanggang berlangsungnya acara renang terbuka Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 pada Ogos depan. Tasik Putrajaya yang sentiasa menjadi pilihan bagi menganjurkan acara-acara sukan berkelas dunia seperti Piala Dunia Ski Air dan Formula Future, telah diuji oleh atlet-atlet renang terbuka dari 10 buah negara di Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia (Pra-Sukan Sea) selama dua hari yang berakhir pada Ahad (21 Mei 2017).
10 buah negara yang terlibat adalah Malaysia sebagai tuan rumah, Kazakhstan, Jepun, Oman, India, Sri Lanka, Taiwan, Hong Kong, Thailand dan Singapura membabitkan empat acara iaitu 5 kilometer (lelaki dan wanita) dan 10 kilometer (lelaki dan wanita).
Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen berkata segalanya telah berjalan lancar dan pihaknya telah mendapat gambaran awal mengenai suasana pertandingan serta ekspetasi mengenai keadaan venue dan air sewaktu hari pertandingan. Saya tidak rasa ada banyak perkara untuk dibangkitkan, hanya sedikit penambahbaikkan iaitu jika Perbadanan Putrajaya boleh pastikan kualiti air yang lebih baik, yang menepati Piawaian Antarabangsa sesuai untuk sentuhan badan itu akan lebih membantu.
“Sesuatu perlu dilakukan mengenainya tetapi saya tidak kata kualiti seperti sekarang adalah teruk, ianya tetap ok cuma maksud saya kalau lebih baik adalah lebih bagus. Selebihnya saya lihat tiada masalah, bantuan teknikal, sukarelawan semuanya nampak tersusun. Kalau ada sekalipun sebarang kekurangan, kita akan beritahu supaya langkah wajar boleh diambil pihak Perbadanan,” ujar Mae Chen. Tambah beliau, suhu air juga adalah faktor penting perlu diberi perhatian.
“Kita dapati suhu air agak suam, dengan suhu hari pertama sekitar 30.9 darjah manakala hari kedua 31.8 darjah tetapi sudah tentunya tiada apa yang boleh kita buat, ia bukan dalam kawalan kita.
“Kita akan terus pantau dan dapatkan pandangan pihak perbadanan, mungkin pada Ogos nanti apabila berlangsung KL 2017, suhunya adalah lebih dingin. Kita perlu buat persiapan wajar ke arah itu.”
Di Kejohanan Pra-Sukan Sea itu, seramai tujuh perenang negara (lima lelaki dan dua wanita) termasuk perenang Olimpik, Heidi Gan telah berpeluang menyerlahkan potensi dan Mae Chen berkata ASUM akan membuat penilaian teliti sebelum memuktamadkan senarai akhir empat perenang (dua lelaki dan wanita) pada Jun nanti bagi membawa cabaran di KL 2017.