Penganjuran temasya sukan dwi tahunan, Sukan SEA 2021 yang sepatutnya dilangsungkan pada penghujung tahun ini berkemungkinan besar akan ditunda dan tidak akan dilangsungkan pada penghujung tahun ini.

Tuan rumah, Vietnam meletakkan bulan April atau Mei 2022 sebagai tarikh baharu bagi menganjurkan temasya tersebut.

Keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) secara atas talian yang dihadiri 25 wakil daripada 11 jawatankuasa Olimpik negara negara ASEAN.

Vietnam diwakili tiga individu; Tran Duc Phan (Timbalan Pengarah bahagian Pentadbiran Sukan Kebangsaan), Hoang Vinh Giang (Pengerusi Jawatankuasa Olimpik Vietnam),  dan Setiausaha Agungnya Ong Tran Van Manh.

Vietnam menjelaskan susulan peningkatan kes mendadak jangkitan Covid 19 di negara jelas membantutkan persiapan sekaligus memaksa tuan rumah untuk mencadangkan penangguhan temasya tersebut ke tahun depan.

Delegasi yang hadir di mesyuarat itu juga turut meluahkan kerisauan mereka terhadap kesan pandemik Covid 19 di Vietnam yang akan turut memberi impak negatif kepada negara negara lain.

Justeru kesemua delegasi sepakat untuk menunda temasya Sukan SEA ke 31 pada bulan April atau Mei 2022.

Ia diputuskan selepas mengambil kira kalendar sukan antarabangsa lain seperti Sukan Olimpik Musim Sejuk di China yang dijadual pada Februari, Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Tertutup yang akan berlangsung di Thailand pada Mac.

Manakala Sukan Komanwel di England akan diadakan pada Julai sementara Sukan Asia pula akan berlangsung pada bulan September dimana China menjadi tuan rumah.

Selain memberi ruang yang mencukupi kepada Vietnam untuk terus melakukan persiapan, penganjur Sukan SEA ke 32, Kemboja juga mempunyai ruang masa yang mencukupi dimana Sukan SEA 2023 dijadual berlangsung dari 5 hingga 17 Mei 2023.

Memetik laporan media Kemboja, Tran Duc Phan, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2021 telah mencadangkanKerajaan Vietnam berhubung waktu yang sesuai untuk menganjurkan temasya dwi tahunan itu sebelum diumumkan kepada negara negara lain.

Kebanyakan negara bertanding telahpun melaksanakan program vaksinasi melibatkan atlet masing masing namun Vietnam tidak mempunyai mekanisme berhubung polisi vaksinasi untuk negara negara luar malah masih belum dapat menyelesaikan isu kelewatan persiapan susulan dana yang masih belum diterima.

Dalam pada itu mesyuarat juga memutuskan negara Thailand akan menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA 2025 manakala Brunei Darussalam akan menjadi hos bagi Sukan SEA pada tahun 2027.

Mesyuarat SEAGF secara atas talian dijangka akan diadakan pada 8 Julai depan dimana Vietnam akan menjawab sepenuhnya tentang status penganjuran Sukan SEA 2021.

 

- Advertisement -