Demikian harapan penyerang import Terengganu FC (TFC) Dominique Da Sylva yang ingin terus mencabar perebutan status penjaring terbanyak CIMB Liga Super 2020 apabila turun dalam perlawanan terakhir menentang Pahang, Ahad ini.
Penyerang berusia 31 tahun ini tidak menolak rasa teruja apabila masih berada dalam kelompok penjaring terbanyak dengan 8 gol setakat ini diikuti penyerang Selangor, Ifedayo Omosuyi dengan 9 gol dan penyerang Perak, Shahrel Fikri yang menjadi satu-satunya pemain tempatan mengungguli carta dengan 10 gol.
Memandangkan jurang jumlah jaringan tidak jauh, sudah pasti perebutan Anugerah Kasut Emas akan menjadi sengit antara tiga pemain ini termasuklah Da Sylva yang enggan melepaskan peluang tersebut untuk cuba menjaringkan seberapa banyak gol dalam aksi terakhir liga berdepan Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Justeru, kerjasama daripada rakan sepasukan amat penting untuk membantunya dalam menterjemahkan gol yang diinginkan sekali gus membantu pasukan meraih tiga mata berharga bagi menamatkan saingan di kedudukan ketiga pada musim ini.
“Semestinya perlawanan terakhir ini tidak mudah dan penyerang lain seperti Omosuyi dan Shahrel juga akan merebut peluang yang sama untuk menjadi penjaring terbanyak termasuklah saya.
“Saya kena cuba untuk menjaringkan lebih dari dua gol menentang Pahang nanti, tetapi semua itu tidak akan terjadi tanpa bantuan daripada rakan-rakan lain, jadi kami semua kena memainkan peranan untuk memastikan penyudah berkesan bagi menjaringkan gol.
“Cuma apa yang penting, saya tetap utamakan pasukan dahulu untuk meraih tiga mata dan sekiranya saya yang berjaya meledak gol, ia adalah satu bonus asalkan dapat memberi kemenangan kepada pasukan.
“Apa-apa pun tahun pertama saya bersama pasukan dalam Liga Malaysia memberikan satu perjalanan yang cukup positif untuk berada di tahap ini dan saya percaya saya mampu untuk buat lebih daripada itu sebenarnya”, katanya.
TFC ketika ini menghuni tangga keempat dengan 16 mata dan memerlukan kemenangan dalam aksi terakhir itu untuk menamatkan saingan di kedudukan ketiga, iaitu pencapaian yang lebih baik berbanding musim lalu di tangga ketujuh liga.
Selain aksi TFC dan Pahang, perlawanan antara Perak dan Kedah juga bakal menjadi tumpuan pada Ahad ini untuk menentukan naib juara CIMB Liga Super 2020 serta slot Piala AFC.
Tiga perlawanan akan berlangsung pada malam esok membabitkan Melaka yang akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), PJ City FC menentang PDRM manakala Selangor bakal menerima kunjungan Felda United.