MAJLIS upacara pembukaan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) dijangka akan membuka tirai sejarah baru temasya sukan negara, dengan lebih 105 kontinjen bakal menyertai perbarisan lintas hormat pada malam ini.
Upacara yang penuh warna warni ini akan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin.
Tirai upacara pembukaan akan dimulakan dengan perbarisan masuk bendera kejohanan SUKIPT yang dibawa oleh pasukan pelapis laut UITM, diikuti pembawa bendera Majlis Sukan utama di bawah KPM. Kontinjen Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM) yang disertai oleh 10 pasukan dari kolej komuniti negeri dengan kolej komuniti Johor mengetuai perbarisan utama, diikuti 59 kontinjen institusi pengajian tinggi swasta di bawah Majlis Sukan IPTS (MASIWA), 13 kontinjen politeknik mengikut negeri, 4 kontinjen Institut Perguruan Malaysia, 1 kontinjen Majlis Sukan Matrikulasi dan 20 kontinjen IPTA di bawah Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).
Pemenang pingat emas lempar cakera Sukan SEA, Irfan Shamsuddin juga telah dipilih untuk menyerahkan ‘scroll’ kejohanan kepada Tan Sri Muhyiddin. Atlit hoki kebangsaan daripada UITM dan UPM, Fazilah Sylvester Silin dan Azreen Rizal Nasir pula akan mengetuai kesemua atlit untuk melafazkan ikrar.
Temasya gilang gemilang ini kemudiannya akan diakhiri dengan persembahan para pelajar Fakulti Filem Teater dan Animasi UITM.
Kali ini, kejohanan dwi-tahunan ini melibatkan penyertaan sejumlah 8,000 atlit, 2000 sukarelawan dan 3,000 petugas dan pegawai, menjadikannya antara yang yang terbesar dalam sejarah sukan tersebut.