Belum reda insiden pergaduhan serius yang tercetus antara pemain Johor dan Terengganu dalam aksi bolasepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 beberapa hari lalu, atlet Johor mencuri tumpuan lagi apabila terlibat dalam satu lagi insiden pergaduhan di gelanggang futsal.
Insiden berlaku pada penghujung perlawanan Kumpulan B menentang Wilayah Persekutuan di Arena Sukan Manjung yang mana Johor tewas 4-6 sekaligus menimbulkan persepsi negatif terhadap seluruh negeri Johor.
Namun bagi jurulatih futsal pasukan itu, Ahmad Hanif Sarmin atau Jojo, tidak adil untuk mengaitkan nama negerinya dengan imej buruk tanpa mengetahui cerita sebenar dan hanya bersandarkan spekulasi liar yang tular di media sosial.
“Memang ada pertengkaran mulut dan tolak menolak berlaku, situasi sedikit tegang tetapi janganlah buat tanggapan insiden sebegitu hanya berlaku dalam perlawanan babitkan pasukan Johor. Ia adalah normal dalam satu-satu perlawanan, yang penting keadaan kemudian menjadi terkawal dan tiada apa insiden buruk berlaku, tiada pemain cedera, sekadar satu situasi tegang.
“Saya fikir kekecohan ini hanya kerana salah faham dan meminta maaf terhadap insiden yang berlaku. Kedua-dua pasukan juga sudah bermaafan dan pada saya tidak perlu diperbesarkan lagi. Ia bukan serius macam dalam bolasepak tempoh hari.
“Saya selalu meminta pemain supaya mengawal emosi mereka ketika permainan dan tanamkan semangat kesukanan, kerana bergaduh bukan budaya Johor, kita datang ke sini bukan mahu tunjuk budaya samseng,” kata Hanif yang menjulang Liga Futsal Brunei bersama Kuantan Rangers tahun lalu dan baru tahun ini terlibat sebagai jurulatih.
Sebagai rekod, pada Ahad lalu dua pemain Terengganu, Mohamad Shafawi Mohamad dan Mohammad Rahmat Makasuf serta dua pemain Johor, Mohamad Hariz Kamarudin dan Nur Ismail Sukandar dilayangkan kad merah kerana terbabit dalam pergaduhan di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Perlawanan itu menyaksikan Terengganu mencatat kemenangan 2-0 ke atas Johor yang sekaligus menyaksikan pasukan harimau selatan itu tersingkir daripada saingan.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail ketika diminta mengulas mengenai dua insiden yang mencemari perjalanan temasya berkata ketua kontijen perlu memainkan peranan penting di dalam menerapkan semangat kesukanan dan memberi teguran kepada atlet masing-masing supaya kegagalan mereka mengawal emosi itu tidak memberi implikasi buruk kepada diri, pasukan dan juga suka sukan itu sendiri. MUHD AIMANÂ