Sukan Malaysia 2018 di Perak tampak berlangsung dalam suasana yang kurang sempurna susulan masih ada kerja kerja mempersiapkan venue bagi sukan badminton yang masih belum mencapai tahap 100 peratus.
Sehingga pagi tadi, kontraktor dilihat sedang melakukan kerja kerja menyimen disekitar bangunan Arena Badminton Perak.
Tinjauan pada Sabtu, pemain pemain yang mengambil bahagian berlatih di gelanggang dalam keadaan yang kurang selesa dimana kontraktor terus menjalankan kerja kerja pembinaan selain keadaan gelanggang yang berhabuk.
Petugas petugas dan pegawai teknikal juga dilihat sedang menyusun kedudukan dan mencari bilik yang sesuai dijadikan pusat pentadbiran sepanjang acara berlangsung.
Pegawai teknikal bagaimanapun terpaksa menggunakan bilik mesyuarat yang ada di bangunan skuash yang terletak bersebelahan dengan Arena Badminton Perak buat sementara waktu.
Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How sebelum ini memberi jaminan persiapan venue siap mengikut jadual.
Malah, Howard turut menjelaskan, selain badminton, Padang Sintetik Parit Buntar di Kerian dan venue bagi sukan muay masih belum siap sepenuhnya.
Saingan bagi badminton dijadual bermula hari ini jam 2.00 petang melibatkan acara berpasukan.
Selain isu venue yang masih belum siap, laporan media tempatan mendedahkan atlet futsal wanita Sabah dikuarantin selepas disyaki mengalami jangkitan saluran pernafasan.
Malah 11 lagi atlet Sabah turut sama dikesan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan ringan dan kesemua yang terlibat sedang dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah Manjung.