Skuad futsal lelaki Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memenangi pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) dengan penuh bergaya setelah menundukkan Terengganu 7-1 dalam aksi final di Arena Sukan Tertutup Manjung.
Kemenangan itu sekaligus menyaksikan Wilayah Persekutuan menebus kekecewaan di edisi 2013 apabila terpaksa berpuas hati dengan pingat perak setelah kecundang kepada Pulau Pinang.
Mereka mendahului 3-1 di separuh masa pertama menerusi jaringan Syahril Ezuwan Sadre, Shahril Hissham dan Hikmal Firdaus Darul Ridzuan manakala Terengganu membalas menerusi Hafizi Ismail.
Hasrat sang penyu untuk bangkit di babak kedua punah sebaliknya Wilayah garang menambah empat jaringan menerusi dua jaringan Farith Ahmad, Iskandar Aliff Khairil Anwar dan gol sendiri oleh Alif Izzat Rosdi.
Sementara itu, Pahang pula mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi lima tahun lalu setelah mengetepikan tentangan sengit tuan rumah Perak 4-3 dalam aksi penentuan.
Gol buat Pahang bimbingan Yazeed Hamzah dijaringkan oleh kapten pasukan Harith Naim (dua gol), Imran Syamim Md Saifullah dan Khairul Anuar Ramli manakala Perak membalas menerusi pemain kebangsaan Awalludin Mat Nawi, Haiqal Danial Ishafarin dan Umarul Hakimi Nasarudin.
“Memang sasaran kita di sini mahu menang emas tetapi bukan rezeki kita, kita tewas kepada pasukan yang lebih baik. Apapun kami gembira untuk berjaya mempertahankan gangsa dengan menewaskan tuan rumah yang dibarisi beberapa nama besar pasukan kebangsaan,” kata Harith Naim yang bermain untuk Kuantan Rangers dalam Liga Futsal Kebangsaan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN