Negeri Terengganu memohon pertimbangan semula terhadap jumlah acara yang dipertandingkan di Sukan Malaysia (SUMA) yang akan berlangsung tahun depan.
Tuan rumah, Johor memutuskan untuk menawarkan 16 sahaja pingat emas menerusi empat kategori berbanding 32 pingat emas dipertandingkan di SUKMA Perak, melibatkan dua acara, ‘Snatch’ dan ‘Clean and Jerk’, iaitu masing-masing dengan 16 acara melibatkan lapan kategori, lelaki dan wanita.
Menurut Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdulllah keputusan penganjur dianggap ‘pelik’ oleh kontinjen Terengganu dan 12 negeri lain, apabila mereka menggugurkan empat kategori kelas berat bagi lelaki dan empat kategori kelas ringan wanita.
‘Kita di Terengganu membuat bantahan, dan kita ingin mengadakan rayuan sekali lagi kepada pihak yag berhormat menteri supaya dapat mempertimbangkan semula keputusan ini memandangkan sukan angkat berat merupakan sukan yang berprestij. Sukan ini juga memerlukan masa yang agak lama untuk melahirkan pelapis, dan juga sukan yang kita paling berpotensi untuk memperolehi pingat di peringkat antarabangsa,’kata Wan Sukhairi
Pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal dipengerusikan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, 17 November lalu di Johor Baharu, kesemua 13 negeri bersetuju 16 acara sahaja dipertandingkan bagi sukan angkat berat di SUKMA 2020 susulan isu doping melibatkan atlet sukan tersebut tahun ini.