Temasya dwitahunan, Sukan Malaysia dan Para Johor 2020 yang dijadual berlangsung pada Mac da April 2021 dibatalkan dan akan diadakan pada tahun 2022.
Perkara tersebut disahkan Menteri Belia dan Sukan Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia sacara atas talian.
Selepas meneliti laporan status terkini penganjuran SUKMA ke XX dan Sukan Para SUKMA XX daripada Sekretariat SUKMA Johor 2020 dan pihak Kerajaan Negeri Johor, kesemua pihak sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan temasya tersebut.
Alasan penangguhan dua temasya itu adalah; ketidaktentuan dalam penularan wabak pandemik COVID – 19 yang telah memasuki gelombang ketiga melanda negara pada ketika ini serta kesukaran menyediakan jaminan keselamatan kesihatan kepada hampir 30 ribu orang yang akan terlibat samada atlit, jurulatih, pegawai, sukarelawan, pengurusan dan sebagainya tidak mengambil kira penonton dan peminat sukan.
Tambah Dato’ Sri Reezal lagi, dua kali penangguhan yang telah dibuat sebelum ini menyebabkan peningkatan kos pengurusan dan ketidaktentuan tarikh Sukan Malaysia dan Para SUKMA memberi tekanan dan kekangan kepada perlaksanaan program latihan atlit negeri-negeri peserta.
Pengubahan tarikh baharu juga dilihat sukar memandangkan kalendar beberapa temasya sukan tempatan dan antarabangsa pada tahun 2021 juga terlalu rapat dengan beberapa tarikh penting seperti termasuklah bulan Ramadhan yang dijangka bermula dari 13 April – 12 Mei 2021, Kejohanan Bola Sepak Euro 2020 (11 Jun – 11 Julai 2021), Sukan Olimpik Tokyo 2020 (23 Julai – 8 Ogos 2021), Sukan Paralimpik Tokyo 2020 (24 Ogos – 5 September 2021).
Justeru Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dan Para SUKMA turut bersetuju untuk menetapkan Johor sebagai tuan rumah pada tahun 2022.
Bagi edisi 2024, Majlis Sukan Negara akan menjadi penganjur bersama sama Negeri Selangor atau Wilayah Persekutuan selaras dengan persetujuan bahawa negeri-negeri
lain hanya akan menjadi tuan rumah dalam penggiliran empat tahun sekali dan di antaranya akan dianjurkan oleh MSN bersama Selangor atau Wilayah Persekutuan.
Manakala Kelantan berstuju untuk menjadi hos bagi penganjuran SUKMA dan Para SUKMA ke 22 pada tahun 2026
Malah, jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia / Para SUKMA juga bersetuju supaya Jawatankuasa Teknikal Sukan Malaysia dan Para SUKMA meneliti dan mencadangkan semula perubahan-perubahan peraturan yang terlibat dari segi had umur, kelayakan penyertaan dan sebagainya bagi penganjuran Sukan Malaysia dan Para SUKMA Johor 2022 pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi yang akan datang.