PAHANG, gergasi angkat berat tempatan yakin meraih sekurang-kurangnya enam pingat emas pada temasya SUKAN MALAYSIA XVII di Perlis, 24 Mei hingga 4 Jun ini.
Keyakinan itu diluahkan jurulatihnya, Sapri Ab Latif yang berkata, sasaran itu diyakini mampu dipenuhi berdasarkan prestasi semasa 12 atlet angkat berat yang mengandungi empat atlet lelaki dan lapan wanita.
“Hampir separuh daripada atlet pernah beraksi pada temasya SUKMA lalu. Hasil persembahan dan pengalaman mereka, kami yakin mereka akan memberikan persembahan yang baik di Perlis nanti.”
Skuad angkat berat Pahang akan bertolak pada 24 Mei sebelum memulakan aksi di Institut Kemahiran Belia Negara bermula 27 Mei hingga 3 Jun.