TASIK Timah Tasoh yang tenang, tempat penduduk tempatan menghirup udara segar sambil menikmati pemandangan indah kini menjadi tumpuan seluruh negara apabila bermulanya acara Kanu temasya Sukan Malaysia Ke-17 yang bermula esok.
Dengan menawarkan keseluruhan 66 pingat untuk 22 acara, Kanu bakal menyajikan aksi menarik di Tasik Timah Tasoh apabila atlit handalan berentap memburu kejuaraan.
Ia membabitkan kedua-dua kategori lelaki dan wanita bagi acara 1000 meter yang bermula 24 Mei (Sabtu), diikuti acara 500 meter dan 200 meter pada hari-hari berikutnya.
Saingan pasti sengit bagi peserta kedua-dua kategori kerana menghadapi rintangan seperti mendayung dalam panas terik iaitu keadaan cuaca yang dikatakan agak luar biasa di negeri Perlis.
Bagaimanapun, ia tidak menjadi halangan, malah cuaca panas umpama membakar semangat atlit untuk merebut pingat khususnya emas yang begitu diidamkan.
Antara negeri begitu teruja dan berkeyakinan tinggi untuk ‘menuai’ pingat sebanyak mungkin menerusi Kanu ialah Terengganu yang menyifatkan acara di Tasik Timah Tasoh itu sebagai ‘lubuk emas’.
Terengganu menerusi 20 atlitnya pasti mahu meneruskan penguasaannya sebagaimana kejayaan dicatat pada Sukma 2011 Kuala Lumpur dengan memperoleh lapan emas, lapan perak dan empat gangsa.
Malah, atlit Kanu Terengganu menunjukkan komitmen tinggi apabila berada di Perlis lebih sebulan awal untuk berlatih dan merasai suasana di Tasik Timah Tasoh sebagai persiapan rapi untuk menguasai Kanu Sukma Ke-17.
Begitupun, Terengganu tidak boleh terlalu memandang rendah keupayaan pencabarnya seperti Wilayah Persekutuan dan Johor, malah tuan rumah Perlis yang juga mempunyai kekuatan tersendiri sebagaimana saingan diberikan dalam temasya terdahulu.
Berdasarkan saingan temasya 2011, walaupun Terengganu menguasai pungutan pingat secara keseluruhan, beberapa acara menyaksikan kebangkitan atlit negeri lain.
Di sebalik keghairahan Terengganu menguasai emas dalam acara seperti K2 500m Lelaki, K1 500m wanita, K2 500m wanita dan K4 500m wanita,
atlit Johor dan Perlis masing-masing meraih emas dan perak bagi acara
K1 500m Lelaki.
Rentetan tersebut bakal menyaksikan kali ini, Tasik Timah Tasoh bukan sekadar ‘lubuk’ untuk memburu emas semata-mata, malah menjadi medan menebus maruah yang lama tercalar.