MUHAMMAD Zulhafiz Saipudin menepati statusnya sebagai pelumba terbaik rentas desa berbasikal bukit (XC MTB) apabila dengan mudah memenangi pingat emas acara berkenaan di Pauh Putra, Ulu Pauh, Arau, hari ini.
Pelumba Dungun berusia 20 tahun yang mewakili negara di temasya Sukan SEA Myanmar lalu, mendahului dari pusingan pertama untuk memastikan pingat emas acara berkenaan apabila menamatkan kayuhan 7 pusingan dengan masa sejam 20 minit 11 saat.
Pingat perak dimenangi pelumba Sabah, Alvin Leong Vui Chung yang merakam 1j23.41s manakala pelumba Sarawak, Garry Tay Yuan Swee di tempat ketiga (1j25.22s).
Zulhafiz yang memenangi gangsa di Pahang 2012, berkata dia menjalani latihan sebulan di Bandung dan tiba empat hari lebih awal di Perlis untuk menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan laluan yang akan digunakan.
“Memang laluannya sukar tetapi ia tidak sebegitu teknikal. Taktik saya ialah meluru sebaik pelepasan dan akhirnya berjaya mendahului dari mula hingga akhir.
“Saya berterima kasih kepada ibu dan bapa yang banyak memberi dorongan terhadap karier saya,” kata Zulhafiz yang hanya menumpukan perhatian terhadap acara itu pada Sukma kali ini dan kini mengalih sasaran ke kejohanan kebangsaan, Julai nanti.
Sementara itu, Kedah yang mendapat sentuhan legenda negara, Rosman Alwi membuat kejutan dalam acara wanita apabila menguasai kedudukan emas-perak menerusi Siti Fatimah Ismail dan Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad manakala pelumba Sarawak, Noor Fadilah Saiedin memenangi gangsa.
Siti Fatimah, 20, dari Alor Setar berkata dia bertekad menebus kehampaan untuk meraih emas pertama Sukma selepas hampa gagal memenangi pingat pada penyertaan pertama acara ujian masa berpasukan di Pahang 2012.
“Kali ini saya disenaraikan dalam lima acara dan berharap kemenangan akan berterusan dalam beberapa acara lagi selepas ini. Lebih manis kerana rakan sepasukan Siti Nur Adibah juga memenangi perak.
“Saya dan Siti Nur Adibah hanya perlu mengawasi pelumba Sarawak (Noor Fadilah) kerana sedar dia bertenaga berdasarkan persembahannya di Pahang dua tahun lalu. Sebaik bermula, saya terus meluru ke depan dan mengekalkan momentum hingga tamat,” katanya yang menamatkan kayuhan lima pusingan itu dengan masa 1j12:26s, 30s di depan Siti Nur Adibah manakala Noor Fadilah mencatat 1j14:31s.