Sukma XVII Perlis 2014 LogoKuasa kenu dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA), Terengganu mendapatkan sentuhan jurulatih dari Hungary untuk memperkukuhkan cabaran negeri itu pada SUKMA XVII di Perlis yang membuka tirainya, Jumaat ini. Malah, sentuhan jurulatih berkenaan Viraq Tibor mula menunjukkan hasil dalam tempoh singkat apabila dayungan 20 atlet yang terpilih ke Sukma Perlis 2014 menunjukkan kemajuan memberangsangkan sejak jurulatih berkenaan memulakan tugas, Mac lalu.

Pengurus skuad kenu Sukma 2014, Suryani Mohamad berkata, usaha Majlis Sukan Negeri (MSN) membawa Tibor ke negeri untuk membantu ketua jurulatih Muhammad Hakimi Abdullah diharap akan dapat meneruskan penguasaan negeri itu dan memenuhi sasaran lapan pingat emas yang diletakkan kali ini.

Malah, skuad Terengganu yang memenangi lapan emas, lapan perak dan empat gangsa pada temasya di Kuala Lumpur 2011 menunjukkan komitmen tinggai untuk menggapai sasaran dengan menjalani latihan lebih awal di gelanggang yang akan digunakan di Perlis nanti.

“Terengganu akan menghantar 20 atlet kenu iaitu 10 lelaki dan 10 wanita. Kami juga tiba lebih awal di Perlis supaya atlet dapat menjalani latihan penyesuaian di empangan Timah Tasoh sejak penghujung April lalu,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian besar daripada atlet Sukma 2011 masih dikekalkan manakala beberapa muka baru turut disenaraikan dalam skuad negeri itu untuk meneruskan kesinambungan Terengganu sebagai gergasi kenu SUKMA.

- Advertisement -