Melaka meletakkan sasaran tinggi apabila menyasarkan 25 pingat emas daripada 356 pingat emas yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-17 di Perlis, dari 24 Mei hingga 4 Jun ini.
Antara sasaran lubuk pingat skuad negeri itu ialah wushu, memanah, perahu layar, pencak silat, berbasikal, olahraga, golf dan badminton.
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, beliau percaya Melaka yang pernah menjadi tuan rumah SUKMA 2010 berpotensi meraih sasaran itu berdasarkan pengalaman atlet yang dihantar ke temasya kali ini.
“Saya percaya atlet kita mampu mencapai sasaran ini…apa yang penting sekarang, semua atlet Melaka membuktikan mereka setanding dengan atlet negeri lain… sekarang masa kita buktikan kita mampu memburu kemenangan,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan bendera negeri kepada ketua kontinjen, Datuk Ab Rahman Ab Karim, baru-baru ini.
Untuk menyemarakkan semangat atlet negeri itu, Idris turut menjanjikan insentif tunai kepada atlet dan pasukan yang melakar emas di Perlis 2014 nanti iaitu ganjaran RM10,000, RM5,000 dan RM3,000 masing-masing bagi acara emas, perak dan gangsa dalam acara berpasukan dan RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 masing-masing bagi atlet individu.
Selain itu, Ketua Menteri turut mengingatkan 293 atlet negeri Hang Tuah yang bertandang ke Perlis supaya sentiasa menjaga disiplin di dalam dan luar gelanggang untuk mengharumkan nama negeri Melaka.
“Tatacara dan disiplin cukup penting bagi setiap atlet supaya dapat membuktikan rakyat Melaka juga mempunyai semangat kesukanan yang tinggi,” katanya.
Pada temasya Pahang 2012, Melaka memungut 7 emas, 19 perak dan 18 gangsa.