Ada dua sebab mengapa pelumba basikal Sabah, Natahsya Soon gembira pada temasya Sukan Malaysia Perlis 2014 selepas berakhir acara Downhill di Pauh Putra.
Pelumba berusia 19 tahun kelahiran Kota Kinabalu itu bukan saja mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukma Pahang 2012, malah dia turut menepati statusnya selaku ratu downhill negara.
Lebih manis, pingat emas yang dimenangi dalam acara downhill semalam, adalah pingat peribadi kedua pada temasya kali ini selepas turut membuat kejutan ramai apabila memenangi acara rentas desa berbasikal bukit (MTB XC), Isnin lalu.
“Saya benar-benar bersyukur kerana misi untuk mempertahankan pingat emas ini berhasil. Memang amat berpuas hati pada penampilan kali kedua di SUKMA ini kerana kali ini saya memenangi dua emas.
“Dan saya bertekad mahu mempertahankan emas acara downhill ini pada temasya akan datang,” kata Natahsya yang dibimbing bekas pelumba kebangsaan Jr Stanley dan Brittany Adlin.
Menceritakan saatnya meraih emas acara downhill itu, Natahsya berkata dia tidak berasa tertekan sepanjang kayuhan kerana mencatatkan jurang masa yang sangat besar berbanding pencabar terdekatnya pada sesi kelayakan.
“Pada perlumbaan tadi, tumpuan saya hanya untuk mencatat masa yang lebih baik. Laluannya agak mencabar pada 100 meter pertama dan 100 meter terakhir. Ia memerlukan banyak tenaga tetapi saya tetap fokus,” katanya.
Natahsya mencatat 2 minit 00.095 saat dalam perlumbaan sebenar di laluan sejauh 980 meter itu , 13.005 saat di depan pemenang perak dari Perak, Nur Farhanan Izzaty Zulkifli (2:13.100s) manakala pelumba Selangor, Siti Natasha Mohd Basri di tempat ketiga (2:17.625s).
Bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Elopura 2 itu kini memasang cita-cita lebih besar untuk mewakili negara, bermula dengan Piala Asean di Filipina dan Sabah selepas ini.
Sementara itu, tuah nyata memihak pelumba Terengganu yang baru berusia 17 tahun dan pertama kali beraksi di pentas SUKMA, Ahmad Syazrin Awang Lah apabila membuat kejutan selepas memenangi pingat emas downhill lelaki.
Penuntut SMK Dungun itu yang dilepaskan sebagai pelumba kelapan dari kalangan 15 finalis, memintas catatan terbaik yang dilakukan pelumba Pahang sebelum itu, Md Hafiz Danial Md Shahrulnizam, dengan catatan 1:43.717s manakala pelumba Melaka, Muhd Raudhatul Razman Abd Razak memenangi gangsa.
Ahmad Syazrin yang memenangi perak acara BMX sebelum ini, bagaimanapun melihat tuah menyebelahinya apabila satu persatu pencabarnya gagal mencatat masa lebih pantas, sama ada melakukan kesilapan dan terjatuh, atau mengalami masalah mekanikal.
“Saya berterima kasih kepada ibu bapa, semua jurulatih dan Majlis Sukan Negeri Terengganu yang banyak membantu, termasuk jurulatih peribadi dari Indonesia Koko Mohd Fadli.
“Memang mendebarkan, memang sengit, malah hingga kini saya tak percaya menang emas kerana Muhammad Ariff Jamaludin mencatat masa terpantas pada sesi sebelah pagi,” katanya merujuk kepada pelumba Selangor itu yang mengalami tayar pancit, manakala pelumba pilihan dari Sabah, Alvin Leong terbabas dan terjatuh.