Acara tinju membuka gelanggang hari ini dengan aksi pusingan awal di Arena Futsal KSN dengan sembilan pertarungan pusingan pertama membabitkan tiga kategori.
Fakhrul Razzi Yusuf dari Pahang yang turun dalam kategori 52 kilogram mencatat kemenangan mutlak 3 – 0 ke atas petinju Sarawak, Mohd Zamzuri Asram. Menantinya di suku akhir nanti adalah petinju pilihan Mohd Saiful Rizal.
Turut melakar kemenangan dalam kategori 52 kilogram petang tadi adalah Mohamad Ridwan Kalai dari Sabah yang beraksi cemerlang dalam tiga pusingan untuk menewaskan petinju Pulau Pinang, Mohd Syahrun Abdullah.
Kategori 56 kilogram pula menyaksikan aksi lebih sengit. Pusingan pertama bagi pertemuan dua petinju Borneo, Mohd Alsamuddin Mohamad dengan petinju Sabah, Franky Francis berkahir dengan kemenangan buat petinju Sarawak itu dengan keputusan 3 – 0.
Pilihan utama dari Selangor, Zulfadhli Jaafar menanti Alsamuddin di suku akhir.
Nor Aidi Nazrin juga menang bergaya untuk melangkah ke suku akhir kategori 56 kilogram. Petinju Perak itu menewaskan S.Sivaneswaran dari Negeri Sembilan juga dengan kiraan 3 – 0 untuk berdepan petinju tuan rumah, Mohamad Rozaini.
Petinju Kedah, Mohd Al Qayyum Othman pula memberi gambaran awal betapa dia juga bersedia untuk memenangi emas apabila menumbangkan petinju Wilayah Persekutuan di pusingan kedua.
Kategori 64 kilogram, petinju Selangor, Aznil Mohd Nor memastikan kemaraan ke suku akhir apabila mencatat kemenangan KO di pusingan ketiga ke atas petinju Wilayah Persekutuan, Wan Ahmad Fadzli Abdul Wahib.
Acara tinju yang berlangsung di Arena Futsal KSN akan bersambung esok dengan pusingan pertama bagi kategori-kategori lain bermula jam 3.00 petang.