Sabah meletakkan sasaran 20 pingat emas pada temasya SUKMA XVII Perlis, bagi memperbaiki pencapaian 18 emas yang dikutip di Pahang dua tahun lalu.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, berkata Sabah yang mengambil bahagian dalam 20 daripada 25 acara, akan menghantar seramai 333 atlet dan 95 pegawai ke temasya kali ini.
“Jumlah ini agak besar berbanding 299 atlet dan 80 pegawai yang dihantar ke Pahang 2012, dua tahun lalu. Jadi, sewajarnya sasaran memperbaiki pungutan pingat itu mampu dicapai,” katanya.
Pada temasya di Pahang, Sabah yang pernah menjadi tuan rumah SUKMA 2002, sekadar memungut 18 pingat emas, 20 perak dan 52 gangsa untuk berada di tangga kesembilan daripada 15 pasukan yang mengambil bahagian.
Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Suzannah Liaw dilantik sebagai Chef-de-Mission kontinjen Negeri di Bawah Bayu.