Sabah membolot kedua-dua emas yang dipertandingkan dari acara berbasikal hari ini apabila dua pelumbanya menguasai trek BMX di Sungai Batu Pahat petang tadi.
Natahsya Soon menghadirkan kegembiraan buat kem Sabah dengan menjadi penyumbang emas pertama buat kontinjen negeri di bawah bayu itu apabila mengungguli perlumbaan BMX kategori wanita.
Natahsya menguasai perlumbaan akhir sejak dari awal dengan mendahului 7 pelumba lain.
Meskipun diberi tentangan hebat oleh pelumba dari Pahang dan Terengganu, Natahsya berjaya menjarakkan diri dan mendahului dengan selesa di selekoh ketiga.
Pelumba Sabah yang baru menceburkan diri dalam sukan BMX ini setahun lalu akhirnya melintasi garisan penamat dengan catatan 59.67 saat untuk pingat emas, Siti Aisyah Alias dari Pahang pingat perak manakala Siti Shahirah Hashim dari Terengganu gangsa.
Natahsya yang akan mempertahankan pula pingat emasnya dalam acara downhill selepas ini tidak menyangka penyertaan sulungnya dalam acara BMX membuahkan hasil.
“Saya memang tak sangka dapat memenangi emas dalam acara BMX ini, saingan dari pelumba-pelumba lain memang sengit tetapi nasib lebih menyebelahi saya” katanya.
Penguasaan 100 peratus Sabah dalam perlumbaan BMX dilengkapkan dengan kemenangan Akmal Abdullah bagi kategori lelaki.
Akmal yang juga pelumba di ranking ke 96 dunia, bagaimanapun tidak di berikan laluan mudah oleh pelumba-pelumba lain.
Bagaimanapun henjutan di saat akhir membolehkan Akmal muncul juara dengan catatan 52.287 saat, 0.2 saat di depan Ahmad Syazrin Awang Ilah dari Terengganu.
Gangsa menjadi milik Mohd Ibnu Hasyimie Omar juga dari Terengganu.