Skuad pencak silat Sarawak berada di landasan tepat memburu empat emas di Sukan Malaysia ke 17 apabila lima pesilat mereka berjaya menempatkan diri di peringkat separuh akhir.
Lima pesilat tersebut adalah Munirah Daud yang beraksi dalam kelas B puteri, Olivia Chong (F puteri), Zarana Zulkiflee (C puteri), Marliana Rajlan (D puteri) serta wakil tunggal dalam bahagian putera iaitu Mohd Hafiz Remy Iskandar yang bertanding dalam kelas H.
Pengurus pasukan pencak silat Sarawak, Mohd Yusna Matalie menyifatkan peluang untuk memperbaiki pencapaian dua tahun lalu yang dimiliki Sarawak kini tidak harus dilepaskan.
Skuad pencak silat Sarawak yang berjuang di bawah slogan keramat ”agi idup agi ngelaban” menjalani latihan intensif sejak penghujung Januari lalu dan kini telah sampai masanya untuk mereka menuai hasil.
”Kita mengharapkan empat emas dari acara silat, dua dari silat olahraga dan dua dari silat seni. Kemaraan lima pesilat Sarawak ke separuh akhir makin menambahkan keyakinan kami untuk mencapai sasaran” katanya.
Di Kuantan pada 2012, Sarawak hanya memperoleh satu pingat emas, yang menyaksikan Pahang muncul kuasa utama dalam arena pencak silat.
Pencak silat di Sukma ke 17 secara keseluruhannya menawarkan 26 pingat emas untuk dimenangi.