Tirai saingan Kanu SUKMA XVII berlabuh hari ini dengan Terengganu membuktikan keunggulan apabila mengumpul keseluruhan 14 pingat emas, jauh mendahului lain-lain negeri dalam aksi di Tasik Timah Tasoh, di sini.
Selepas menguasai hari pertama dan kedua dengan meraih sembilan pingat emas, Terengganu menambah lima emas hari terakhir menerusi acara perseorangan (KI) 200m wanita, berpasangan (K2) 200m lelaki, K2 200m wanita dan musette (K4) 200m wanita serta TKI 200m wanita.
Sebagaimana biasa, ‘puteri’ Kanu kebanggaan Terengganu, Nor Azita Ibrahim membuka tirai saingan hari ini dengan memperoleh emas acara KI 200m (00:55.74s) wanita, diikuti Fatimah Ngah dalam acara TKI 200m wanita (1:07.79s).
Kejaguhan Nor Azita terserlah apabila berjaya mengumpul tujuh pingat emas daripada tujuh acara disertainya sepanjang tiga hari acara Kanu SUKMA XVII berlangsung yang bermula 24 Mei lalu.
Lain-lain penyumbang emas Terengganu hair ini ialah gandingan Ahmad Shafiq Moha dan Muhammad Uweis Aroroni Rahmat dalam acara K2 200m lelaki (00:40.13s) serta pasangan adik beradik Nor Azita dan Nor Azira Ibrahim bagi acara K2 200m wanita.(00:52.37s).
Tidak terkecuali, kuartet Terengganu yang terdiri daripada Akmal Idayu Mat Razik, Fatin Ajeerah Wahab, Nor Azira dan Nor Azita terus mempamer aksi mantap untuk menambah koleksi emas dalam acara K4 200m wanita menerusi catatan 00:48.63s.
Saingan pada hari ini turut menyaksikan Johor dan Pahang tidak lagi ‘kempunan’ emas.
Johor menguasai acara KI 200m lelaki, TK2 200m lelaki dan TK2 200m wanita manakala emas tunggal Pahang menerusi acara TKI 200m lelaki.
Sementara Wilayah Persekutuan yang mengutip tiga emas sebelum ini hanya mampu menambah satu sahaja emas hari ini menerusi acara K4 200m lelaki.
Bagaimanapun, tidak ada rekod kebangsaan dan SUKMA dicatatkan pada hari terakhir.
Keseluruhannya Terengganu cemerlang membawa pulang 14 emas dan lapan perak untuk mendahului senarai pungutan pingat Kanu SUKMA XVII.
Ini diikuti Wilayah Persukutuan empat emas, enam perak dan empat gangsa manakala Johor memungut tiga emas, dua perak dan dua gangsa dan Pahang cuma sebutir emas, enam perak dan empat gangsa.