SUKAN Malaysia XX MSN 2020 melabuhkan tirai secara rasmi dengan bendera temasya diturunkan tepat jam 9.53 malam, menandakan berakhirnya saingan 13 hari sukan berprestij negara di DECTAR Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, malam ini. 

Majlis penutupan penuh warna warni itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu. Turut hadir termasuk  Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker dan Menteri Besar Johor, Dato Onn Hafiz Ghazi. 

Sepanjang 13 hari saingan, 426 pingat emas menjadi rebutan 15 kontinjen termasuk Brunei Darussalam yang bersaing dalam 31 jenis sukan. 

Johor melakar sejarah apabila dinobat selaku juara keseluruhan SUKMA buat pertama kali sejak bermula temasya pada 1986.

SUKMA XX MSN 2022 dianjurkan di 43 venue meliputi lima zon iaitu Zon Kuala Lumpur (8 sukan), 9 sukan di Zon Bangi, 9 sukan di Zon Bukit Jalil, Zon Shah Alam (8 sukan) dan Zon Langkawi bagi sukan pelayaran. 

Selain itu,  enam kluster penginapan disediakan di UKM, UiTM, Universiti Malaysia, Uniten, Dayang Bay Resort Langkawi dan Pusat Kecemerlangan Paralimpik MSN, Kg Pandan. 

Secara keseluruhan, 6,643 atlet bertanding selain jumlah tenaga kerja 5,899 pegawai dan kakitangan dari pelbagai agensi dan badan beruniform. 

Atlet kanu Johor, Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize, 21, yang meraih 9 emas selain memperbaharui dua rekod kebangsaan, dinobat sebagai Atlet Terbaik Lelaki.

Perenang Johor berusia 16 tahun,Tan Rouxin, yang meraih enam emas peribadi, dipilih sebagai Atlet Terbaik Wanita . 

Sebanyak 21 rekod kebangsaan diperbaharui dalam sukan renang, berbasikal dan menembak. 

Majlis bermula dengan perbarisan lintas hormat 15 kontinjen dengan didahului mascot temasya Oyen, selain perbarisan 200 sukarelawan Satria Sukarelawan Sukan Malaysia yang turut menjayakan temasya kali ini.

Tiga lagenda sukan negara – jaguh berbasikal Datuk Azizul Hasni Awang, lagenda skuasy Datuk Nicol Ann David dan bekas jaguh badminton Datuk Wira Lee Chong Wei diberi penghormatan menyampaikan trofi kemenangan kepada atlet dan kontinjen terbaik. 

Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Faizal, dalam ucapannya, melahirkan penghargaan khas kepada semua pihak yang menjayakan temasya SUKMA 2020 yang tertangguh sebelum ini akibat pandemik Covid-19.

Sebelum itu, Dato’ Jana Santhiran Muniayan, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA XX, juga merakamkan jutaan terima kasih pada semua pihak termasuk 670 sulkarelawan Satria Sukma Malaysia di atas kerja keras menjayakan temasya kali ini. 

SUKMA XX MSN 2022 menyaksikan atlet Gimanstik Berirama berimara Negeri Sembilan, Elisya Saiful Zaini muncul sebagai atlet termuda yang beraksi pada 21 September lepas, pada usia 11 tahun 10 bulan 29 hari. 

Bendera temasya selamat diturunkan tepat jam 9.53 malam, menandakan berkahirnya saingan 13 hari SUKMA XX MSN 2022.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan termasuk tarian, nyanyian artis jemputan termasuk Faizal Tahir dan Muzza selain penghargaan istimewa kepada skuad Sukarelawan Anak Malaysia, SATRIA.

- Advertisement -