Sesuai dengan tema ‘Wow Kita Hebat’, temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 Perak 2018 dibuka secara rasmi dalam pancaran cahaya gilang gemilang di Stadium Perak di sini, malam ini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat menyempurnakan majlis perasmian itu tepat pada 10.05 malam, setelah tertangguh kira-kira 45 minit dari jadual asal akibat hujan.

Namun cuaca tidak mendingini semangat semua peserta dan penonton. ??

?Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut berangkat ke majlis perasmian tersebut.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sultan Nazrin meletakkan sebilah keris ke dalam kotak yang kemudian memancarkan laser warna warni dan menyalakan obor temasya dengan disaksikan ribuan penonton yang bersorak terpesona.

Terdahulu, baginda berkenan menerima obor dibawa oleh Chef de Mission kontinjen Perak, Loo Kum Zee, bekas atlet lompat tinggi kebangsaan yang pernah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Sebelum itu, acara perasmian dimulakan dengan perarakan lintas hormat kontinjen-kontinjen negeri dimulai oleh Sarawak, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Selangor, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Johor, Brunei Darussalam dan Perak yang diketuai oleh Loo.

Sejurus kemudian, maskot Sukma Perak, seekor seladang yang diberi nama Chor, memasuki padang diikuti persembahan nyanyian lagu tema ‘Wow! Kita The Greatest’ hasil ciptaan komposer terkemuka Datuk Wah Abdul Hamid Idris, seterusnya persembahan pembukaan diberi nama Indera Sakti yang dijayakan oleh 700 peserta.

Kumpulan peserta itu menampilkan aneka tarian budaya masyarakat berbilang kaum Malaysia.

Kira-kira 40,000 orang menyaksikan acara pembukaan temasya dwi tahunan itu termasuk 25,000 daripadanya yang berada di dalam stadium, manakala selebihnya penonton di tiga skrin besar di luar stadium.

Sukma 2018 berlangsung dari 12 hingga 22 Sept, dengan menawarkan 427 pingat emas melibatkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah seluruh Perak.

Penganjuran Sukma 2018 adalah kali kedua bagi Perak selepas kali terakhir 24 tahun lepas.

— BERNAMA

- Advertisement -