Oleh Muhammad Aiman
Juara Piala Malaysia, Kedah memulakan pencarian pemain import baru bagi memperkuatkan cabaran pasukan itu musim depan, dengan pemain pertahanan dari Korea Selatan, Kim Seung Hyun menjadi yang pertama diuji.
Pemain berusia 23 tahun itu yang pernah bermain untuk Suwon FC di Liga Korea, dilihat sudahpun menjalani latihan bersama-sama pemain lain bermula Khamis di bawah kendalian jurulatih kecergasan dari Brazil, Stefano Impagliazzo. Â
Sekiranya keadaan kecergasan mengizinkan, dia dijangka diturunkan pada aksi pra-musim menentang pendatang baru Liga Premier, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC di Stadium Darul Aman pada 13 Disember ini.Â
Lang Merah yang menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga musim lalu mengekalkan hanya dua pemain import iaitu Liridon Krasniqi dan Sandro Mendonca, manakala kontrak Bang Seung Hwan dan Shane Smeltz pula tidak dilanjutkan.
Pemain pinjaman dari Felda United, Thiago Augusto juga tidak ditawarkan kontrak tetap.
Justeru, kelibat Seung Hyun dipercayai bagi mengisi kekosongan ditinggalkan rakan senegaranya dari Korea itu yang membentuk gandingan ampuh bersama Khairul Helmi Johari di jantung pertahanan selama dua musim.
Dalam pada itu, bagi pemain tempatan pula, Kedah hanya membawa masuk dua pemain setakat ini iaitu Akram Mahinan dari Johor Darul Takzim II dan juga bekas pemain Pulau Pinang, Fitri Omar.
Mereka dijangka tidak mencari ramai pemain baru dari luar kerana kebanyakan pemain musim lalu dikekalkan termasuklah Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Syazwan Zainon dan Ifwat Che Akmal selain bakal membawa masuk beberapa pemain dari skuad Piala Presiden.