pawi.german

Oleh Ku Mohd Lufti

Pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi membuktikan kemenangan sulung di Argentina April lalu bukan hanya nasib.

Pelumba pasukan Honda Team Asia itu sekali lagi mencipta sejarah apabila meraih kemenangan podium di GP Jerman di Litar Sachsenring, pada ahad.

Litar basah akibat hujan sebelum perlumbaan, sekali lagi memberi kelebihan buat pelumba kelahiran Ipoh ini meskipun bermula dari petka ke 20.

 Khairul yang digelar Super KIP bijak mencari ruang untuk berada di kedudukan ketujuh diawal perlumbaan.

 Khairul terus garang dilitar basah apabila memimpin perlumbaan sehingga tamat 27 pusingan untuk muncul juara dengan catatan masa 47 minit 7.763 saat.

“Syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada pasukan saya yang sentiasa berusaha keras untuk saya.

“Ia adalah perlumbaan yang sukar dan banyak yang berlaku sewaktu perlumbaan tadi. Mulanya saya terlalu mendesak jentera saya sebelum sedar perlu lebih bertenang dan cuba mengawal keadaan.

“Saya harap keluarga saya, rakan dan peminat akan bergembira dan menikmati kemenangan ini,” kata Khairul.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi pelumba dari Itali, Andrea Locatelli dari pasukan Leopard Racing dan Enea Bastianini dari pasukan Gresini Racing.

Kemenangan ini meletakkan Super KIP di kedudukan ke 10 keseluruhan selepas mengumpulkan 54 mata manakala pelumba Afrika Selatan Brad Binder dari pasukan Red Bull KTM Ajo masih mendahului dengan 159 mata.

- Advertisement -