Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad mengakui masih belum puas dengan kemenangan 2-1 ke atas Selangor dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019 sambil menyifatkan perlawanan yang lebih dramatik akan berlaku pada timbal balik kedua, Sabtu ini.
Jelasnya, kemenangan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Larkin minggu lalu bukan mudah terutamanya apabila Selangor pantas menyamakan kedudukan 1-1 selepas Syafiq membuka tirai jaringan pada minit ke-14.
Bahkan, skuad kendalian B. Sathianathan ini juga tidak memberi laluan mudah apabila pasukan tuan rumah terpaksa bergelut untuk mendapatkan gol kedua menerusi pemain import, Leandro Velazquez pada minit ke-48.
Justeru, Syafiq memberi bayangan perlawanan separuh akhir kedua nanti pastinya akan menjadi lebih aggresif daripada kedua-dua pasukan memandangkan jurang jaringan tidak terlalu besar untuk Selangor merapatkan kedudukan di Stadium Shah Alam.
Paling penting, JDT perlu mencari formula yang terbaik dalam memastikan corak permainan yang lebih menyakinkan berbanding aksi di laman sendiri, Sabtu lalu.
“Kemenangan tempoh hari memang bukan mudah kerana apabila kita sudah sampai ke separuh akhir ini, semua pasukan yang layak sama kuat dan sukar untuk diatasi.
“Seperti Selangor, mereka sentiasa memberi tekanan kepada pasukan kami di setiap ruang dalam perlawanan tempot hari dan membuatkan pemain agak sukar untuk konsisten di atas padang.
“Jadi saya rasa persembahan kami masih belum cukup memuaskan, tetapi saya tetap nak ucapkan terima kasih kepada semua rakan sepasukan yang tidak berputus asa untuk memastikan kemenangan milik kami”, katanya.
Dalam perlawanan separuh akhir pertama, aksi yang dipamerkan Syafiq tidak mengecewakan apabila dilihat cemerlang menggalas tugas selaku penyerang selepas ketiadaan pemain import dari Brazil, Diogo Luis Santo yang masih bergelut dengan masalah kecederaan.
Bekas pemain muda Kedah ini berjaya membuktikan kemampuannya selaku penyerang selepas berhasil membuka tirai jaringan pada minit ke-14 sekali gus menepis tanggapan bahawa ketiadaan Diogo akan menjejaskan barisan serangan dalam perlawanan tersebut.
Atas kertas, rekod pertemuan antara dua pasukan ini lebih memihak kepada JDT dalam saingan Liga Super musim ini dan sudah pasti, pengendalinya Benjamin Mora ingin memastikan rekod tersebut terus kekal untuk anak buahnya melangkah ke final Piala Malaysia.