Oleh Muhammad Aiman

Pemain tengah Pahang, Ahmad Syamim Yahya bakal terlepas aksi getir pasukannya Pahang menentang Kelantan di Kota Bharu pada 8 April depan, setelah dia dikenakan hukuman penggantungan satu perlawanan gara-gara menunjukkan isyarat lucah ketika aksi menentang Melaka pada 25 Februari lalu.

Perbuatan Syamim itu walaupun tidak ditujukan kepada mana-mana pemain lawan mahupun pegawai perlawanan di mana dia sekadar ‘bergurau’ dengan rakan sepasukannya, namun ia telah dirakam lensa kamera dan ditayangkan secara langsung sekaligus ditonton umum.

“Syamim didapati bersalah dan telah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan kelakuan menyinggung dan fairplay justeru dikenakan hukuman gantung satu perlawanan, denda RM500 dan diberi amaran keras agar tidak mengulangi perbuatannya atau akan dikenakan hukuman lebih berat,” demikian menurut kenyataan Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Jawatankuasa Tatatertib yang bersidang pada Jumaat turut mengenakan penggantungan empat perlawanan terhadap empat pemain iaitu Fazly Zulkifli (PKNP FC), Suhairy Johari (ATM), Firdaus Azizul (Felcra) dan Khairul Rizam Che Soh (Presiden T-Team).

Fazly dan Suhairy terlibat dalam insiden pergaduhan ketika perlawanan antara PKNP dan ATM di Ipoh pada 24 Februari lalu dan kedua-duanya telahpun diperintah keluar padang. Mereka disabitkan dengan salah laku terhadap pihak lawan dan turut dikenakan denda RM1,000.

Masing-masing telahpun menjalani penggantungan automatic satu perlawanan. Selepas ini Fazly akan terlepas aksi PKNP menentang MISC-MIFA (7 April), PDRM (14 April) dan Uitm FC (25 April) manakala Suhairy terlepas perlawanan menentang pendahulu Negeri Sembilan (7 April), Kuala Lumpur (14 April) dan Kuantan FA (25 April).

Firdaus pula didapati bersalah kerana kekasaran ke atas pemain KDMM FC, Helmi Sudin pada 26 February dan telah menjalani satu penggantungan automatic. Dia bakal terlepas tiga lagi aksi menentang DBKL (19 Mac), Shahzan Muda (9 April) dan Hanelang FC (23 April).

Selain itu, Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan turut dikenakan denda RM5,000 berikutan tindakan penyokong mereka menceroboh masuk ke padang ketika aksi pusingan kedua Piala FA menentang Selangor di Stadium Selayang pada 14 Februari lalu.   

- Advertisement -