Semusim mewakili Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC telah banyak mematangkan permainan pemain pertahanan, Syazwan Zaipol Bahari.
Dia merupakan antara tonggak utama pasukan bimbingan Abu Bakar Fadzim itu yang mengharungi musim 2017 yang cukup cemerlang â menduduki tempat ketiga dalam penampilan sulung di 100PLUS Liga Premier selain melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.
Bersama pasukan B-22 kebangsaan pula, Shazwan membantu skuad bimbingan Datoâ Ong Kim Swee itu untuk mara secara merit ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 yang akan berlangsung bulan depan dan memahat nama selaku anggota skuad pemenang pingat perak Sukan SEA pada Ogos lalu.
Bakal menyarung jersi negeri kelahirannya, Perak yang dibimbing Mehmet Durakovic bagi saingan Liga Malaysia musim depan, Syazwan sudah pun menyimpan hasrat, tidak mahu sekadar menjadi penumpang sebaliknya mahu meyakinkan jurulatih dan merebut tempat di dalam kesebelasan utama.
âBermain bersama rakan sepasukan baru, di bawah bimbingan jurulatih baru, sudah tentu satu suasana berbeza. Pasukan ini sudah sedia mempunyai pemain-pemain yang bagus yang berpengalaman bermain di Liga Super, jadi saya tahu ianya bukan mudah untuk saya, saya perlu bekerja keras.
âSaya tidak boleh selesa dengan status selaku pemain skuad B-22 negara, kerana jurulatih hanya akan pilih pemain yang berada pada tahap terbaik. Penting untuk saya menjaga prestasi dan membuktikan keupayaan saya, bahawa saya layak disenaraikan dalam skuad utama,â katanya.
Syazwan ketika ini sedang menjalani latihan pusat bersama skuad B-22 negara di Mokpo, Korea Selatan sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan AFC B-23 di China dari 9 â 27 Januari depan.
Perak tidak mengambil ramai pemain baru bagi menghadapi musim 2018, dengan hanya empat pemain termasuk Syazwan direkrut pasukan itu. Tiga pemain lain adalah Brendan Gan, Rafiuddin Roddin dan Nor Hakim Hassan manakala selebihnya mereka serap pemain dari skuad Piala Presiden. – OLEH MUHAMMAD AIMAN